Fokus perkasa dasar pendidikan negara, bukan politikkan sekolah vernakular – Pakar

PUTRAJAYA – Sistem pendidikan yang paling ideal adalah satu aliran persekolahan yang seharusnya diakui oleh pelbagai pihak bahawa dasar terbabit telah pun wujud di negara ini sejak 200 tahun lalu.

Pakar pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, di peringkat Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan juga memutuskan sekolah pelbagai aliran dibenarkan wujud di Malaysia.

Menurutnya, pelaksanaan sistem terbabit yang telah dipersetujui secara bersama oleh pemimpin terdahulu, mewujudkan perpaduan kaum serta sebagai tanda Malaysia yang berpegang pada prinsip masyarakat majmuk meraikan dan menghormati kepelbagaian identiti etnik.

“Kita boleh sahaja tidak bersetuju dengan keputusan pemimpin terdahulu. Tetapi kita kena memahami dahulu sejarah pendidikan, mengapa mereka membuat keputusan sebegitu. Jangan kita ‘melatah’ mengeluarkan kenyataan atau pandangan peribadi secara semborono tanpa memahami sejarah pendidikan negara sendiri terlebih dahulu.

“Di Indonesia sekolah satu aliran telah dilaksanakan sejak tahun 1945, tetapi pada tahun 1998 berlaku juga rusuhan kaum di sana. Di USA juga mereka laksanakan sekolah satu aliran tetapi konflik kaum tetap juga berlaku antara masyarakat kulit putih dan kulit hitam. Pada saya, sejarah kekal sejarah. Kita tidak boleh ubah apa yang telah berlaku tetapi kita boleh pelajari dari sejarah masa lalu. 

“Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) sudah menjadi sebahagian sistem pendidikan kebangsaan, seperti juga sekolah aliran agama yang diraikan kewujudannya. Tanda masyarakat negara ini adalah masyarakat majmuk yang meraikan dan menghormati kepelbagaian identiti  etnik,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Selasa.

Malah, Anuar menegaskan, SJKC juga sudah semakin diterima golongan Bumiputera apabila kira-kira 100,000 murid atau 20 peratus daripada murid terdiri daripada orang Melayu, selain sekolah terbabit menyediakan pelbagai infrasarana yang selesa buat murid beragama Islam dan menjual makanan halal di kantin.

Sehubungan itu, beliau yang juga Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA), UKM menggesa semua pihak, khususnya ahli politik tidak seharusnya lagi mempolitikkan sekolah pelbagai aliran, sebaliknya bergerak ke hadapan dan membantu memperkasakan sistem pendidikan sedia ada di negara ini.

“Daripada sibuk mempertikaikan kewujudan sekolah pelbagai aliran yang telah pun diiktiraf oleh mahkamah dan undang undang negara, mengapa tidak anda sebagai ahli politik yang progresif berjuang habis-habisan supaya sekolah kebangsaan diperkasakan kualitinya? Perjuangkan kualiti sekolah kebangsaan sehingga akhirnya sekolah kebangsaan menjadi rebutan dari ibu bapa pelbagai kaum. Bukankah sejarah menunjukkan apabila matrikulasi dan UiTM hebat, ibu bapa dari semua kaum mahu peluang diberikan untuk anak-anak mereka ke sana untuk belajar?

“Minda dan sikap ahli politik kena berubah. Masyarakat, khususnya generasi belia telah berubah. Mereka tidak boleh lagi bergantung pada modal politik perkauman. Tak kisahlah anda ahli politik dari parti mana pun, sebaik sahaja anda menggunakan isu perkauman, anda akan dilihat sebagai seorang ahli politik yang  sudah ‘bankrap modal politik’ oleh masyarakat khususnya dalam kalangan pengundi atas pagar dan pengundi muda. Negara ini memerlukan ahli politik yang serba baharu ideanya untuk membawa masyarakat maju ke hadapan,” tegasnya.

Tambah beliau, sekiranya ahli politik benar-benar memperjuangkan isu pendidikan, mereka perlu memberi tumpuan untuk memperkasakan sekolah kebangsaan supaya kemudahannya sama seperti di sekolah antarabangsa selain diberi latihan bertaraf global kepada guru-guru sekolah kebangsaan dan beban tugas guru dikurangkan.

“Usahakan supaya kurikulum kebangsaan dicontohi oleh negara lain, itu baru ahli politik yang hebat. Sejak tahun 1950 isu sekolah vernakular ‘dijaja’ oleh ahli politik, adakah pendidikan anak-anak kita semakin baik? Apakah anak-anak kita sedang belajar dengan selesa di dalam kelas? Adakah prestasi pendidikan anak-anak kita sekarang sehebat anak-anak Singapura, Vietnam atau Korea Selatan? Yang dahulu pada tahun 1960, mereka semua jauh ketinggalan di belakang negara kita,” katanya.

Dalam pada itu, tambah beliau, sebagai timbal balik kewujudan sekolah pelbagai aliran, sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) mesti turut menzahirkan jati diri dan identiti kebangsaan.

“Pendidikan bahasa kebangsaan mestilah diperkukuhkan di semua sekolah jenis kebangsaan, manakala standard silibus dan penguasaan bahasa kebangsaan perlu selaras di semua sekolah kebangsaan termasuk SJKC dan SJKT.

“KPM (Kementerian Pendidikan) mestilah bertegas untuk memastikan semua anak-anak di SJKC dan SJKT menguasai Bahasa Kebangsaan sebaiknya. Jika anak-anak di SJKC dan SJKT gagal kuasai Bahasa Kebangsaan, KPM mestilah bertanggungjawab dan mengakui kegagalan mereka,” katanya.

Terdahulu, polemik berkenaan isu sekolah pelbagai aliran terus dibangkitkan oleh pemimpin politik dengan terbaharu menerusi cadangan yang dilontarkan Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Zuhir Ghazali supaya sekolah vernakular dimansuhkan untuk memupuk perpaduan.

Bagaimanapun, cadangan itu dibantah Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong yang menegaskan pendidikan adalah asas pembangunan negara dan tidak seharusnya dijadikan isu politik yang boleh memecahbelahkan rakyat

Related Posts

Harga RON95 tanpa subsidi dan diesel naik, RON97 kekal

PUTRAJAYA – Kerajaan mengumumkan semakan mingguan harga runcit produk petroleum dengan RON95 tanpa subsidi dan diesel di Semenanjung Malaysia mencatat kenaikan lima sen bagi tempoh 7 hingga 13 Mei ini,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
PM ketuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN di Cebu

CEBU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 serta mesyuarat berkaitan yang berlangsung di sini bermula esok hingga 8 Mei ini.…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Dua lelaki positif dadah ditahan dalam Ops Khas di Roban

Dua lelaki positif dadah ditahan dalam Ops Khas di Roban

UNIQSAAS, Universiti Al-Wasatiyyah meterai LoI

UNIQSAAS, Universiti Al-Wasatiyyah meterai LoI

Harga RON95 tanpa subsidi dan diesel naik, RON97 kekal

Harga RON95 tanpa subsidi dan diesel naik, RON97 kekal

Bantah ADUN lantikan: AMANAH tegas pertahan prinsip demokrasi di Johor

Bantah ADUN lantikan: AMANAH tegas pertahan prinsip demokrasi di Johor

Perak agih 464 lembu korban libatkan 59 DUN sempena Aidiladha

Perak agih 464 lembu korban libatkan 59 DUN sempena Aidiladha

Wan Rosdy nasihat Guan Eng lebih cermat buat kenyataan

Wan Rosdy nasihat Guan Eng lebih cermat buat kenyataan