
PUTRAJAYA – Gesaan beberapa syarikat penyedia perkhidmatan ekonomi gig menekan kerajaan untuk memperhalusi Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig disifatkan sebagai taktik lapuk, semata-mata hanya mahu mengekalkan status quo dalam menindas pekerja.
Ketua Aktivis Gabungan eHailing Malaysia (GEM), Jose Rizal berkata, syarikat akan bertindak dalam mengelak daripada memberikan perlindungan asas sepert jaminan sosial, insurans pekerjaan, dan hak-hak pekerja yang sepatutnya.
Menurutnya, kerajaan perlu bertegas dan tidak tunduk kepada tekanan syarikat susulan RUU yang dibentang berpaksikan kepada kepentingan pekerja gig, bukannya mementingkan kebaikan syarikat yang hanya mahu mencari keuntungan.
“Cukup-cukuplah dengan alasan. Kami ingin bertanya kepada syarikat ekonomi gig, sudah berapa lama pekerja gig bekerja tanpa perlindungan yang sewajarnya dam terpaksa menanggung risiko akibat kecuaian mereka. Sampai bila syarikat mahu terus berdolak-dalik untuk mengelakkan tanggungjawab
“Saya ingin menegaskan bahawa gesaan syarikat ekonomi gig untuk RUU Pekerja Gig bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Selama ini, syarikat-syarikat ini sentiasa mencari alasan untuk melambatkan sebarang usaha yang bertujuan melindungi pekerja gig.
“Ini kerana mereka mahu terus mengaut keuntungan besar tanpa mengambil sebarang tanggungjawab,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Jumaat.

Terdahulu, beberapa syarikat penyedia perkhidmatan ekonomi gig menggesa kerajaan untuk memperhalusi RUU Pekerja Gig sebelum ia dibentangkan di Parlimen bagi memastikan pelaksanaannya lebih jelas, praktikal dan tidak menjejaskan ekosistem pekerjaan fleksibel ini.
Dalam kenyataan bersama pada Khamis, syarikat terbabit seperti Bolt, FastGig, foodpanda, GoGet, Grab, Halo Delivery, Kiddocare, Lalamove dan ShopeeFood menegaskan bahawa pendekatan yang lebih menyeluruh diperlukan bagi memastikan RUU berkenaan benar-benar memberi manfaat kepada pekerja gig serta industri secara keseluruhan.
Mereka menyatakan kebimbangan terhadap beberapa aspek dalam RUU itu, antaranya penetapan piawaian minimum industri secara sehala yang berisiko mengekang inovasi dan persaingan, sekali gus meningkatkan kos perkhidmatan kepada pengguna.
Sehubungan itu, Jose menegaskan, agar RUU Pekerja Gig tidak lagi boleh ditunda dan keperluan dilaksana dengan segera agar tiada lagi mana-mana indicidu yang menjadi mangsa eksploitasi sistem yang hanya menguntungkan syarikat.
Jelasnya, pekerja gig bukanlah hamba korporat atau sekadar ‘rakan kongsi’ seperti yang sering diuar-uarkan oleh pemilik syarikat perkhidmatan.
“Kami adalah pekerja yang menyumbang kepada ekonomi negara dan berhak mendapat perlindungan yang adil.Kami di GEM tidak akan berdiam diri.
“Jika syarikat masih mahu menghalang hak pekerja gig, kami akan terus berjuang dan memastikan suara pekerja gig didengari. Cukuplah mereka menekan pekerja gig selama ini,” luahnya.





