
PUTRAJAYA – Kedudukan Ahli Parlimen Melayu dan Bumiputera mampu diperkasa serta diperkukuhkan sekiranya Pas ‘bersetuju’ untuk Kerajaan Perpaduan.
Pengarah Komunikasi Pemuda PKR Selangor, Mohd Fauzi Fadzil berkata, penyertaan parti itu juga mampu menyelesaikan isu peruntukan kepada Ahli Parlimen Pas yang masih tertangguh boleh diselesaikan secara holistik.
“Ketika ini, ada seramai 83 Ahli Parlimen Melayu-Bumiputera yang menyokong kerajaan daripada 152 jumlah keseluruhan mereka yang ada dalam Dewan Rakyat. Sememangnya yang mendukung kerajaan masih majoriti dan naratif kononnya kerajaan ‘ditunggang’ Cina tidak dapat dimainkan.
“Namun, pertambahan 43 kerusi daripada Pas mampu menutup terus naratif jahat yang bermain dengan sentimen perkauman dalam kerajaan sekarang,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Fauzi berkata, penggabungan Pas bersama Kerajaan Perpaduan juga bakal ‘melicinkan’ isu pentadbiran dan komunikasi di antara Putrajaya dengan empat negeri pimpinan parti terbabit.
Beliau mendedahkan perbincangan untuk melibatkan Pas menyertai Kerajaan Madani bermula sejak awal perlantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri pada 2022.
“Anwar pula konsisten menyatakan bahawa tawaran Pas menyertai kerajaan sentiasa terbuka dan ia mesti dilakukan kerana penting untuk kestabilan politik negara.
“Namun, penyertaannya perlu diikat dengan syarat bahawa mereka menerima Malaysia sebagai sebuah negara berbilang agama dan setiap rakyatnya mempunyai tempat tanpa mengabaikan bahawa Islam ialah agama persekutuan,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Fauzi memaklumkan, sejarah membuktikan Pas pernah mendukung perjuangan Anwar melalui platform Barisan Alternatif dan seterusnya Pakatan Rakyat (PR) sehingga Jun 2015.
“Pas hanya meninggalkan PR selepas berlaku konspirasi memenjarakan Anwar pada Februari 2015. Alasan Pas ialah kerana perselisihan parti itu dengan DAP, namun tidak terkait isu konspirasi yang dikenakan terhadap Anwar.
“Situasi semasa menunjukkan wujud pertembungan yang tajam di antara penyokong Pakatan Harapan (PH) dan Pas, namun di peringkat atasan mereka kelihatan mesra. Ia lebih ketara jika melibatkan Perdana Menteri dengan empat menteri besar Pas.
“Walaupun wujud pendekatan agresif melampau yang ditonjolkan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada peringkat awal, akhirnya Menteri Besar Kedah itu terkulai mengakui kewibawaan Anwar dan memohon maaf seikhlas hati pada Mei 2024,” katanya.
Sebelum ini, Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil memberi bayangan bahawa Pas akan memberi sokongan kepada Perdana Menteri dengan menyertai Kerajaan Perpaduan.
Menjawab pertanyaan pemberita, Fahmi dilihat tidak menafikan khabar angin itu yang menegaskan banyak perbincangan antara kerajaan dan pembangkang telah dilaksanakan, terutamanya membabitkan kerajaan negeri.
Bagaimanapun, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tidak wujud sebarang rundingan partinya dengan kepimpinan tertinggi kerajaan perpaduan dalam memberikan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan.




