
GUA MUSANG – UMNO menyifatkan Perikatan Nasional (PN) hanya mengunakan isu sama penyasaran subsidi diesel untuk dijadikan modal pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, isu yang sama juga telah dimainkan pada PRK Sungai Bakap pada Jun lalu.
Beliau berkata, meskipun gabungan itu menggunakan isu sama untuk dijadikan bahan utama namun pengundi Gua Musang pastinya boleh menilai dengan rasional terutama masyarakat Orang Asli berkaitan isu itu.
“Parti gabungan itu (PN) sememangnya menggunkan isu yang sama tetapi mereka juga perlu ingat bahawa masyarakat di sini turtama Orang Asli telah menerima penerangan dengan jelas berkaitan subsidi diesel itu.
“Fitnah dan tohmahan memang akan dilakukan pihak pembangkang setiap masa terutama sepanjang tempoh berkempen bermula Sabtu ini.
“Apapun fitnah yang dibuat sudah tentu jentera kita akan perjelaskan kembali dan akan tingkatkan usaha sepanjang tempoh berkempen,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Projek Membina dan Menyiapkan Jalan Perhubungan Desa dan Projek Mengganti Jambatan Batu 6, di sini, hari ini.
Pada 19 Jun lalu, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong selepas Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.
SPR menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal PRK DUN Nenggiri masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos, manakala 17 Ogos sebagai hari mengundi.


