
PENYAKIT kusta sekali lagi mengegarkan negara apabila media melaporkan seorang remaja perempuan Orang Asli berusia 18 tahun disahkan meninggal dunia Isnin lalu, selepas seminggu demam akibat dijangkiti kusta, manakala lapan individu lagi sedang menerima rawatan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan mengesan penularan jangkitan itu pada 2 Januari membabitkan lima penduduk Kampung Orang Asli (KOA) Chergun dan bakinya dari KOA Guntur.
Apakah itu penyakit kusta ?
Penyakit kusta atau juga dikenali sebagai penyakit Hansen adalah penyakit berjangkit kronik yang disebabkan oleh sejenis kuman yang bernama Mycobacterium leprae di mana ia boleh menjangkiti kulit dan saraf-saraf periferal serta tisu-tisu lain seperti mata, saluran pernafasan, selaput dalaman hidung dan testis.
Penyakit kusta boleh menyebabkan kerosakan saraf dan kelemahan otot yang boleh membawa kepada kecacatan, kelumpuhan, buta dan pengasingan.
Sebanyak 300-350 kes baru didiagnosa setiap tahun di Malaysia, contohnya, pada tahun 2012 terdapat 336 kes baru dan pada tahun 2013 pula terdapat 306 kes baru penyakit kusta.
Sementara itu, data terkini menunjukkan peningkatan dalam jumlah kes baharu dengan 256 kes dilaporkan pada tahun 2023 berbanding 183 kes pada tahun 2022 yang mewakili kenaikan sebanyak 40 peratus.
Apa yang menyebabkan penyakit kusta? Bagaimana ia merebak? Adakah ia penyakit yang diwarisi?
Mycobacterium leprae merupakan bakteria yang menyebabkan penyakit kusta dan ia adalah satu penyakit berjangkit dan bukan penyakit yang diwarisi. Bakteria ini membiak dengan perlahan dan tanda-tanda atau gejala penyakit mungkin mengambil masa lebih daripada 2-5 tahun untuk muncul.
Penyakit kusta adalah penyakit bawaan udara ‘airborne’, ia merebak melalui titisan di udara apabila pesakit penyakit kusta bersin atau batuk, titisan yang mengandungi bakteria akan dilepaskan ke dalam udara.
Penyakit ini boleh merebak apabila seseorang menghirup titisan udara tersebut namun penyebaran kusta tidaklah begitu mudah, di mana lebih daripada 95 peratus orang secara semula jadi imun (kebal) kepada bakteria kusta, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan endemik penyakit ini. Penyakit kusta tidak merebak melalui sentuhan pada luka-luka yang terdapat pada anggota atau badan pesakit kusta.
Apakah tanda-tanda dan gejala penyakit kusta?
Penyakit kusta boleh mengancam kulit dan saraf-saraf periferal, ia menimbulkan ruam atau lesi kulit yang tidak gatal dengan atau tanpa kehilangan rasa / sensasi malah ia juga boleh merosakkan saraf dan seterusnya menyebabkan kelemahan otot dan kehilangan rasa atau sensasi pada tangan dan kaki.
Manakala kehilangan rasa atau sensasi akan menyebabkan kehilangan refleks automatik yang membantu kita untuk menjauhkan diri dari objek panas atau tajam.
Ini telah menyebabkan luka-luka di kulit seperti luka bakar, yang kemudiannya boleh dijangkiti kuman. Pesakit kusta mungkin juga kehilangan jari tangan dan kaki mereka akibat jangkitan itu, jika lambat atau tidak dirawati, kelumpuhan saraf muka juga boleh membawa kepada kehilangan refleks berkelip, kekeringan dan ulser pada mata dan akhirnya boleh menyebabkan kebutaan.
Terdapat lima jenis presentasi klinikal penyakit kusta, iaitu ‘tuberkuloid’, ‘borderline tuberkuloid’, ‘borderline borderline’, ‘borderline lepromatus’ dan ‘lepromatus’.
Jenis presentasi adalah bergantung kepada daya imuniti pesakit tersebut, untuk tujuan rawatan penyakit ini boleh dibahagikan kepada paucibacillary (tiada bakteria dikesan) atau multi-bacillary (bakteria dikesan) bergantung kepada keputusan calitan toreh kulit yang dilakukan pada cuping-cuping telinga dan lesi-lesi kulit pesakit.
Bolehkah kusta disembuhkan? Jika tidak dirawat, apa yang akan berlaku kepada pesakit kusta?
Pada zaman dahulu, para pesakit kusta telah diasingkan dalam koloni kusta, seperti Pusat Kawalan Kusta Negara, Sungai Buloh dan Pusat Rawatan Kusta, Pulau Jerejak, Pulau Pinang.
Tanda-tanda lesi kulit serta kecacatan akibat dari penyakit ini telah membawa stigma yang teruk pada pesakit. Hari ini, kusta boleh dirawat dengan berkesan dan pengasingan pesakit adalah TIDAK DIPERLUKAN lagi malah pesakit kini boleh tinggal dengan ahli keluarga dan masyarakat ketika mereka menerima rawatan.
Bagaimanakah penyakit kusta dirawati?
la boleh dirawat dengan kombinasi antibiotic sistemik (dirujuk sebagai ‘multidrug therapy’ atau MDT) seperti rifampin, dapsone dan clofazimine selama 6 hingga 12 bulan manakala ubat-ubatan seperti ofloxacin atau minocycline akan digunakan sekiranya berlaku kontraindikasi atau kekebalan ubat ‘drug resistance’.
Kadang-kadang pesakit mungkin akan mengalami reaksi Lepra yang sebabkan oleh reaksi imunologi terhadap Mycobacterium leprae.
Tanda-tanda reaksi Lepra adalah seperti demam, bengkak pada lesi-lesi yang sedia ada, nodul-nodul baru yang radang dan sakit, bengkak tangan dan kaki, sakit saraf dan kelemahan otot. Reaksi ini boleh dikawal dengan penggunanan prednisone dan ‘immunosuppressants’.
Terdahulu, seramai 368 daripada 460 penduduk di Kampung Orang Asli (KOA) Chergun dan Guntur di Kuala Pilah telah menjalani saringan kesihatan bagi mengesan kes kusta sehingga 19 Februari lalu.
Exco Kanan, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi berkata, situasi kusta di perkampungan itu adalah terkawal.
Menurut beliau, berdasarkan pemantauan dan tindakan yang telah diambil oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Negeri Sembilan, tiada keperluan untuk mengadakan pengasingan atau kuarantin terhadap penduduk di kawasan terlibat.
“Setakat ini, sebanyak sembilan kes telah disahkan sejak usaha ini dimulakan pada Julai lalu. Semua pesakit telah menerima rawatan mengikut garis panduan perubatan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
“Kerajaan menyeru agar masyarakat tidak panik dan terus berikan kerjasama kepada pasukan kesihatan dan pihak berwajib dalam usaha pengesanan serta kawalan jangkitan,” katanya.
Sumber: Laman sesawang WHO & Dr Chan Lee Chin (Pakar Perunding Dermatologi, Hospital Pulau Pinang, Ahli Exco Persatuan Dermatologi Malaysia)








