KUANTAN – Seramai 31 atlet Para SUKMA Pahang menerima insentif disediakan kerajaan negeri dengan peruntukkan keseluruhan hampir RM300,000.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, insentif itu sebagai tanda penghargaan kepada atlet yang mengharumkan nama negeri Pahang.
“Insentif yang dijanjikan dan diserahkan hari ini adalah sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri atas komitmen para atlet dan semua pihak terlibat.
“Kerajaan negeri juga akan sentiasa membantu dan menambah baik kemudahan-kemudahan sukan di negeri ini termasuk untuk atlet kurang upaya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Insentif Para SUKMA XXI 2024 Kontinjen Pahang di sini, hari ini.
Beliau berkata, pencapaian diperoleh atlet Para SUKMA XXI 2024 menunjukkan peningkatan apabila berjaya meraih 15 pingat emas, melebihi 10 pingat emas yang disasarkan.
“Insya-Allah pencapaian dan kejayaan ini akan diteruskan pada Para SUKMA Ke-22 di Selangor tahun hadapan.
“Sekiranya kejayaan ini dapat diteruskan, kita (kerajaan negeri) tiada masalah untuk kaji balik untuk naikkan insentif ini sekiranya kewangan mengizinkan,” katanya.



