
TAWAU – Nasib mangsa kebakaran di Kampung Sri Aman mendapat perhatian Kerajaan Sabah selepas diberikan bantuan kewangan sebanyak RM1,000 kepada 75 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terlibat.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, bantuan tersebut sebagai tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk memastikan kebajikan penduduk diuji bencana terjaga.
“Ini adalah hasrat dan keprihatinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyampaikan wang ihsan kepada 75 keluarga yg terlibat kebakaran awal Jamuari lepas.
“Yang Amat Berhormat (YAB) berharap agar kesemua mangsa tabah atas dugaan ini,” katanya semasa berucap dalam Program Penyerahan Bantuan Wang Ihsan kepada mangsa kebakaran Kg Sri Aman di Majlis Perbandaran Tawau (MPT), pada Jumaat.
Dalam pada itu, Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas turut menggalakkan mangsa kebakaran untuk memohon pembinaan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Kalau ada keluarga ada tanah atau mangsa ada tanah sendiri, boleh memohon rumah SMJ mengikut prosedur,” katanya.
Beliau turut menasihati agar masyarakat daerah ini memastikan kediaman masing-masing selamat.
“Kita kena pastikan kita berada di rumah yang selamat iaitu rumah yang kita bina itu bukan di tanah yang kita tidak tahu siapa pemiliknya, tidak membina rumah terlalu rapat dan memastikan penyambungan utiliti terutama elektrik dalam keadaan teratur bagi mengelak sebarang risiko.
“Apa yang berlaku ada hikmah dan jadikan ini sebagai panduan dan ikhtibar yang akan menjadikan kita lebih berhati-hati kelak,” ujarnya.





