Kenaikan gaji minimum positif, tapi masih tidak padan dengan kenaikan harga rumah – MTUC

PUTRAJAYA – Peningkatan gaji minimum kepada RM1,700 merupakan langkah positif yang dilaksana kerajaan, namun ia masih belum mencakupi dalam mengatasi masalah pemilikan rumah dalam kalangan pekerja berpendapatan rendah.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) , Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, dalam realiti pasaran hartanah semasa, kenaikan sebanyak RM200 masih tidak dapat memberi impak yang signifikan terhadap keupayaan pekerja dalam membeli rumah pertama.

“Kenaikan gaji minimum dari RM1,500 ke RM1,700 sedikit sebanyak membantu pekerja meningkatkan kelayakan mereka dalam permohonan pinjaman perumahan tetapi ia masih belum mencukupi untuk mengimbangi kenaikan harga rumah, terutamanya di kawasan bandar.

“Berdasarkan syarat pinjaman perumahan bank, kelayakan pinjaman seseorang individu bergantung kepada faktor seperti pendapatan bulanan, komitmen hutang sedia ada, kadar faedah semasa, serta harga rumah di pasaran.

“Dengan harga rumah yang semakin meningkat, khususnya di kawasan bandar, pekerja bergaji minimum masih berdepan cabaran besar untuk memiliki rumah tanpa bantuan tambahan seperti subsidi perumahan atau skim pemilikan rumah mampu milik yang lebih efektif,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Effendy berkata,
kenaikan gaji minimum sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada pekerja, namun ia tidak mewujudkan kesan langsung yang besar terhadap industri hartanah susulan harga masih dikawal oleh pelbagai faktor, seperti peningkatan kos bahan binaan, harga tanah yang tinggi, serta caj pematuhan dikenakan kepada pemaju.

“Bagi pemaju hartanah, kenaikan gaji ini mungkin meningkatkan sedikit daya beli sebahagian pekerja, tetapi ia tidak mencukupi untuk merangsang pemilikan rumah dalam skala besar. Malah, dalam situasi kos bahan binaan dan harga rumah terus meningkat, pekerja masih berdepan jurang besar antara pendapatan mereka dan harga rumah yang ditawarkan di pasaran,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Effendy berpandangan, keperluan buat kerajaan menilai semula dasar gaji dan perumahan secara menyeluruh, selain memperkenalkan mekanisme kawalan harga rumah yang lebih efektif dalam memastikan lebih ramai rakyat Malaysia mampu memiliki rumah pertama tanpa dibebani hutang terlalu tinggi.

Jelasnya, kenaikan gaji minimum harus progresif, selari dengan peningkatan harga harga rumah serta kos sara hidup di setiap negeri selain keperluan skim pinjaman perumahan dengan kadar faedah rendah atau subsidi khas diperkenalkan bagi membantu pekerja berpendapatan rendah membeli rumah pertama.

“Elaun kos sara hidup (COLA) mampu menjadi elaun tambahan untuk pekerja di bandar besar, di mana boleh membantu meningkatkan pendapatan boleh guna, sekali gus memperbaiki kelayakan pinjaman mereka dan perlunya kerajaan menetapkan struktur gaji dengan mengambil kira tahap pendidikan serta kemahiran pekerja agar mereka tidak kekal pada kadar gaji minimum untuk tempoh yang lama.

“Tanpa pelarasan gaji yang lebih menyeluruh, ramai pekerja golongan bawahan akan terus terpinggir daripada pasaran perumahan. Oleh itu, selain menaikkan gaji minimum, kerajaan juga perlu memperkenalkan insentif dan skim khas bagi memastikan pekerja ini berpeluang memiliki rumah pertama tanpa beban kewangan yang melampau,” katanya.

Mengulas lanjut, bagi memastikan lebih ramai masyarakat mampu memiliki rumah pertama, Mohd Effendy memaklumkan, kerajaan perlu melaksanakan beberapa langkah strategik bagi mengawal harga hartanah dan memastikan ia kekal dalam julat yang mampu dimiliki pekerja berpendapatan rendah dan sederhana.

“Antara langkah boleh dipertimbangkan, kerajaan perlu kawal harga rumah mampu milik dengan menetapkan harga siling bagi rumah mampu milik disesuaikan mengikut lokasi dan pendapatan isi rumah, selain bantuan kewangan seperti subsidi deposit, kadar faedah rendah, atau pengecualian duti setem bagi pembelian rumah pertama diperluaskan.

“Tanah milik kerajaan boleh dimanfaatkan untuk membina rumah mampu milik dengan kos lebih rendah tanpa melibatkan spekulasi harga tanah serta perlunya kerajaan memperketat kawalan terhadap aktiviti spekulasi yang menyebabkan harga rumah meningkat secara tidak terkawal.

“Skim Sewa-Milik boleh diperluaskan bagi membantu pekerja yang tidak mempunyai simpanan besar untuk deposit rumah tetapi mampu membayar sewa yang akhirnya boleh ditukar kepada pemilikan rumah,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Effendy berkata, memandangkan kadar RM1,700 adalah dasar yang baharu dilaksana, kerajaan ketika ini perlu memberi keutamaan dalam memastikan gaji minimum ini dilaksana secara holistik dan dipatuhi oleh semua majikan sebelum perbincangan mengenai kenaikan seterusnya dimulakan.

“Tiada gunanya kadar gaji minimum dinaikkan kepada RM2,000 jika penguatkuasaan di peringkat pelaksanaan masih lemah. Penguatkuasaan adalah aspek utama yang perlu diberi perhatian bagi memastikan pekerja menerima hak mereka.

“MTUC berpandangan perintah gaji minimum menetapkan kajian terhadap kadar gaji minimum akan dilakukan setiap dua tahun. Oleh itu, sebarang kenaikan seterusnya harus ditentukan berdasarkan keadaan ekonomi serta kos sara hidup semasa ketika kajian dijalankan,” katanya.

Related Posts

Kalau dendam, kenapa peruntukan negeri pembangkang naik?

Oleh: Jason Yew “KATA mereka PMX anakirikan negeri pembangkang. Hakikatnya…” Sering kali kita dihidangkan dengan satu naratif yang menakutkan: “Kalau tak sehaluan dengan pusat, negeri akan dianaktirikan.” Kata-kata ini diulang-ulang…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Kerajaan akan pinda Akta Tabung Haji, mansuh AUKU sepenuhnya – Anwar

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan meminda Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) bagi memperkukuh tatakelola institusi berkenaan serta memastikan amanah umat Islam terus dipelihara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kalau dendam, kenapa peruntukan negeri pembangkang naik?

Kalau dendam, kenapa peruntukan negeri pembangkang naik?

Rakyat mahu hidup lebih baik, tapi politik masih jual ketakutan

Rakyat mahu hidup lebih baik, tapi politik masih jual ketakutan

SARA terus jadi keutamaan walau berdepan ketidaktentuan ekonomi – Amir Hamzah

  • By Fatin
  • August 17, 2026
SARA terus jadi keutamaan walau berdepan ketidaktentuan ekonomi – Amir Hamzah

‘Car Boot Sale’ bantu peniaga dan belia berniaga fleksibel, kembalikan nadi bandar

  • By Fandi
  • August 17, 2026
‘Car Boot Sale’ bantu peniaga dan belia berniaga fleksibel, kembalikan nadi bandar

Arsenal angkat Perisai Komuniti, tewaskan City 3-0

Arsenal angkat Perisai Komuniti, tewaskan City 3-0

Harimau Malaya tumbang 0-2 di tangan Vietnam

Harimau Malaya tumbang 0-2 di tangan Vietnam