DUA maut manakala dua lagi parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Kuala Krai-Gua Musang dekat Kampung Sungai Sam, Kuala Krai, Kelantan, petang semalam.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Mohd Razani Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden berkenaan pada jam 4.50 petang.
Katanya, sembilan pegawai dan anggota dari BBP Kuala Krai termasuk tiga bomba sukarela Guchil bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, didapati berlaku kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu Perodua Axia, Honda City dan lori lima tan.
“Pemeriksaan dilakukan mendapati terdapat empat individu di dalam Perodua Axia dan dua daripadanya – termasuk pemandu – disahkan meninggal dunia.
“Mangsa tersepit di dalam Perodua Axia dikeluarkan menggunakan peralatan khas, manakala mangsa yang mengalami kecederaan parah dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra Kuala Krai untuk rawatan lanjut.
“Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi kenyataan media.
Mohd Razani berkata, pemandu Honda City dan pemandu lori lima tan tidak mengalami kecederaan.




