Penduduk Bandar Baharu terkejut letupan luar biasa kuat gegarkan kawasan kediaman

ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah diminta memantau dan menjalankan siasatan berhubung kejadian letupan kuat luar biasa yang berlaku di Kampung Padang, mukim Sungai Kecil Hilir, Bandar Baharu pada Rabu.

Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meenakshi Raman berkata, letupan kuat sekitar jam 2.15 petang yang mengejutkan sebahagian besar penduduk itu dipercayai berpunca daripada aktiviti pemecahan bongkah batu oleh pengusaha kuari yang beroperasi di kampung tersebut.

Menurutnya, pihak berkuasa seperti Pejabat Daerah dan Tanah Bandar Baharu, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah perlu memantau operasi kuari di kawasan terlibat termasuk menyiasat insiden berkenaan.

“Kami menerima aduan daripada penduduk yang tinggal di kawasan berdekatan mendakwa terkejut dengan letupan dan dentuman kuat sehingga menggegarkan kawasan perumahan mereka,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Meenakshi memaklumkan, beberapa penduduk yang tinggal di luar kawasan Kampung Padang pada jarak kira-kira satu hingga dua kilometer turut mendakwa mendengar letupan kuat tersebut.

“Seorang penduduk yang paling hampir dengan kuari tersebut dakwa gegaran daripada letupan itu menyebabkan lampu siling jenis kalimantang dalam rumah anak saudaranya jatuh ke lantai, manakala bahagian dinding mengalami keretakan.

“Susulan itu, penduduk terlibat membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan di Balai Polis Bandar Baharu,” ujarnya.

Menurutnya lagi, SAM dimaklumkan beberapa laporan polis akan dibuat oleh beberapa penduduk lain yang tidak berpuas hati dengan insiden terbabit.

Meenakshi turut mempersoalkan jenis dan jumlah bahan letupan yang digunakan pengusaha kuari kerana ia mengakibatkan kesan yang besar.

“Sepatutnya kerja letupan di kawasan kuari dilaksanakan pembedil bertauliah, selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan terutamanya di kawasan berhampiran dengan struktur bangunan dan kediaman.

“Ini termasuk memantau kesan daripada letupan dan kemungkinan bahaya yang berkait rapat seperti batu berterbangan, gegaran tanah dan sebaran debu,” jelasnya.

Menurutnya, jurutera perunding juga perlu memastikan aktiviti yang dijalankan tidak menyebabkan impak negatif kepada orang awam.

“Selain itu, cadangan reka bentuk letupan yang disediakan pembedil bertauliah perlu diambil kira dan disahkan terlebih dahulu oleh Jurutera Perunding Perlombongan serta dikemuka kepada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) sebelum kerja peletupan dilaksanakan,” katanya .

Meenakshi berkata, isu lain yang berbangkit termasuk bunyi bising daripada mesin pemecah bongkah batu serta kehadiran lori keluar masuk yang diperkatakan penduduk.

“Ini menunjukkan masih ada salah laku oleh pengusaha kuari terbabit walaupun perkara itu telah diambil maklum pihak berkenaan.

“Salah laku pengusaha kuari tersebut pernah dilaporkan sebelum ini dan mendapat perhatian termasuk JAS dan JMG selepas aduan serta bantahan dikemukakan penduduk,” katanya.

Menurutnya lagi, ini menyebabkan syarikat kuari tersebut tidak diberikan kebenaran menjalankan aktiviti kuari selama dua sehingga tiga bulan disebabkan pelanggaran syarat permit bahan batuan yang dikenakan terhadap mereka.

Sehubungan itu, SAM sekali lagi menggesa pihak terbabit mengambil tindakan serius dan menjalankan siasatan berhubung kejadian itu serta menyarankan agar permit pengeluaran bahan batuan tersebut tidak diperbaharui kerana melakukan kesalahan berulang.

Pada Ogos tahun lalu, media pernah melaporkan projek kuari batu di kampung berkenaan diambil tindakan oleh JAS kerana didapati melanggar beberapa syarat kelulusan laporan impak alam sekitar (EIA).

Related Posts

Sambutan Hari Gawai DUN Kabong meriah, perkukuh perpaduan masyarakat

ROBAN – Sambutan Hari Gawai 2026 Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong yang berlangsung di Dewan Masyarakat Roban pada Sabtu disambut meriah dengan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat dan pemimpin setempat.…

Lebih lanjut

teruskan membaca
“Game Is On!” – Anthony Loke isyarat PH sedia hadapi PRN serentak Johor, Negeri Sembilan

BATU PAHAT – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan yang dijangka berlangsung serentak disifatkan sebagai detik penting bagi memastikan kesinambungan kestabilan politik negara serta mengukuhkan Kerajaan Perpaduan di…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Sambutan Hari Gawai DUN Kabong meriah, perkukuh perpaduan masyarakat

Sambutan Hari Gawai DUN Kabong meriah, perkukuh perpaduan masyarakat

“Game Is On!” – Anthony Loke isyarat PH sedia hadapi PRN serentak Johor, Negeri Sembilan

“Game Is On!” – Anthony Loke isyarat PH sedia hadapi PRN serentak Johor, Negeri Sembilan

Johor perlukan kestabilan, Malaysia perlukan kesinambungan – Presiden AMANAH

Johor perlukan kestabilan, Malaysia perlukan kesinambungan – Presiden AMANAH

Anwar tekankan kepentingan teknologi, nilai kemanusiaan dan tolak politik perpecahan

Anwar tekankan kepentingan teknologi, nilai kemanusiaan dan tolak politik perpecahan

Pembahagian kerusi PH Johor selesai, tunggu lampu hijau Anwar

Pembahagian kerusi PH Johor selesai, tunggu lampu hijau Anwar

Aminuddin kecewa dikhianati hingga DUN Negeri Sembilan dibubar

Aminuddin kecewa dikhianati hingga DUN Negeri Sembilan dibubar