
GAGASAN Malaysia Madani bukanlah ‘milik’ Datuk Seri Anwar Ibrahim ataupun Kerajaan Perpaduan, namun pemiliknya adalah rakyat Malaysia yang perlu dijadikan gelombang dalam membina negara bangsa.
Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Datuk Ismail Yusop berkata, masyarakat perlu berperanan sebagai pemegang taruh kepada konsep tersebut jika mahu ketamadunan negara kembali ke landasan selain menjadi gah di persada antarabangsa.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Tok Abah menjelaskan, gagasan Madani adalah kesinambungan daripada perjuangan pemimpin terdahulu, khususnya dalam memperjuangkan kemerdekaan Malaysia dan ia bukannya dasar baharu yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Madani adalah satu proses membina negara bangsa yang mana Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan memulakan, namun menyambung proses tersebut dengan penambahbaikan yang sangat radikal kerana kita berhadapan dengan satu situasi yang belum pernah dalam sejarah negara cabaran begitu besar sama ada konteks dalaman geopolitik serantau atau global.
“Malaysia Madani, kita mahu mengajak rakyat bersama sebab ini bukan masalah Perdana Menteri, bukan masalah Kerajaan Perpaduan atau orang mula menyebut Kerajaan Madani, ini tanggungjawab kenegaraan iaitu masa depan negara ini mestilah kerajaan ada hari ini bersama-sama dengan rakyat menentukan rupa masa hadapan negara yang mahu kita bina.
“Saya mahu supaya gagasan Malaysia Madani menjadi gelombang rakyat sebab konsep ini merupakan satu gerakan kenegaraan. Jadi, ini adalah tanggugjawab hak kenegaraan utk kita sama sama main peranan, bukan hanya kita mengundi lima tahun sekali namun tanggungjawab untuk pastikan negara ini di atas landasan seperti telah dimulai oleh generasi awal,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam temuramah bersama Audio Siar. Fikrah Madani yang disiarkan menerusi platform Youtube Kajian Institut Darul Ehsan (IDE), malam tadi.
Dalam pada itu, Ismail menjelaskan Malaysia Madani merupakan metodologi atau perancangan strategik dalam konteks pembangunan negara bangsa dengan mengambil kira amalan demokrasi dalam sistem tadbir urus negara bagi membolehkan generasi hadapan memiliki masa depan yang lebih utuh.
“Kerangka Malaysia Madani bukan nak meramalkan masa hadapan tetapi kalau tidak berfikir bagaimana masa hadapan yang mahu kita bina dalam suasana demokrasi yang lebih terbuka dan dalam suasana di mana disebut liberalisasi maklumat seperti kita tahu media sosial menjadi elemen sangat dominan, menjadi elemen membentuk persepsi dan kerangka pemikiran rakyat.
“Sudah tentu sangat penting bagi kepimpinan negara meletakkan asas jelas rupa bentuk negara bangsa yang mahu dibina. Sebab itu, setiap orang perlu ada gambaran jelas masa hadapan yang mahu dibina. Saya sangat optimis dan yakin apa sedang dilakukan sekarang Insya-Allah bukan sahaja bertambah baik namun dengan izin Allah ia akan jadi kenyataan (berjaya dicapai),” katanya.
Dalam pada itu, Ismail berkata, persepsi mahupun sentimen yang kini dihujani dengan fitnah dan berita palsu perlu dibanteras secara holistik, dengan cara menawarkan perspektif serta fakta yang boleh membantu orang awam berfikir menilai mana betul atau salah.
Jelasnya, Malaysia tidak akan menjadi negara yang dihormati sekiranya media sosial dibiarkan terus berkuasa dalam menentukan persepsi dengan cara hanya memerhatikan algoritma dan sentimen analisis.
“Apakah kita mahu membiarkan faktor tersebut menentukan nasib generasi hadapan. Dalam bahasa mudah, takkan kita nak biarkan (aplikasi) TikTok menentukan masa depan negara. Oleh itu, antara disarankan Perdana Menteri, kjta kena rangkul digitalisasi ini dalam realiti kehidupan.
“Rakyat kena faham, kita kena yang perlu menguasai teknologi bukan teknologi kuasai kita. Jadi Malaysia Madani bagi saya adalah kita mengangkat darjat rakyat yang disebut sebagai karamah insaniah kerana hanya mereka yang memiliki ciri-ciri ini yangg boleh menghidupkan ketemaduan.
“Persepsi di luar sana dibentuk ikut kehendak individu tapi dalam waktu sama kita terima hakikat, kita bukan hidup bersendirian dalam kehidupan. Justeru, gagsaan Malaysia Madani adalah satu inspirasi atau wawasan kenegaraan, bagaimana negara impian boleh dibentuk. Inilah sangat penting untuk diturunkan dan difahami,” katanya.

