Tamatkan tol percuma ketika perayaan langkah proaktif, wajar

PUTRAJAYA – Keputusan menamatkan pengecualian tol lebuh raya ketika musim perayaan seperti diumumkan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi disifatkan sebagai dasar proaktif yang diambil kerajaan.

Bekas ahli lembaga pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Shahrim Tamrin berkata, ia merupakan langkah tepat susulan tol percuma yang dipraktikkan selama ini  menjejaskan kemampanan sistem pengangkutan.

Menurutnya, memberi pengecualian tol untuk tempoh perjalanan balik kampung Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri, Deepavali dan Krismas ketika lalu lintas berada pada kemuncak ibarat mencurah minyak tanah ke api.

“Akibat jumlah trafik yang begitu tinggi di lebuh raya, ia seterusnya melimpah ke jalan utama dan sekunder dan kerap kali menyebabkan keadaan lalu lintas merangkak teruk di bandar dan kawasan luar bandar atau kampung.

“Contoh jelas ialah perjalanan selama 24 jam dari Lembah Klang ke Kelantan yang meletihkan minda dan fizikal pemandu serta penumpang. Bayangkan risiko tinggi keselamatan di jalan raya apabila pemandu lesu.

“Sehubungan itu, ini adalah keputusan tepat oleh kerajaan untuk menghentikan laluan percuma di lebuh raya kerana jelas duit pembayar cukai digunakan untuk membayar pampasan kepada pemegang konsesi lebuh raya akibat hari bebas tol,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Shahrim berpandangan pendekatan bebas tol untuk tempoh perjalanan balik kampung musim perayaan, seperti diperkenalkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada April 2022 dan diteruskan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, adalah satu dasar yang tidak produktif dan tidak wajar.

Jelasnya, pengecualian tol hanya menjejaskan kemampanan pengangkutan, pengurusan trafik yang cekap dan menyumbang kepada kesesakan jalan raya teruk di lebuh raya dan jalan persekutuan atau negeri.

“Pendekatan bebas tol bukan sahaja meningkatkan kesesakan lalu lintas dan mengakibatkan penggunaan bahan api yang lebih tinggi sekali gus juga membawa kepada peningkatan pelepasan karbon dioksida dan pencemaran udara.

“Berdasarkan kajian ilmiah, kenderaan pengangkutan menyumbang lebih 70 peratus daripada pencemaran udara di kawasan bandar dan merupakan penyumbang kedua terbesar kepada jumlah pelepasan karbon dioksida di Malaysia sebanyak 21 peratus pada 2016,” katanya.

Untuk rekod, Malaysia telah membuat ikrar pada Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-26 (COP26) pada 2021 untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

Demi kepentingan rakyat Malaysia secara amnya, Shahrim menegaskan, RM540 juta wang pembayar cukai bagi tujuan hari bebas tol sejak tiga tahun lalu harus disalurkan secara bersungguh-sungguh kepada rakyat marhaen dalam menggunakan pelbagai mod pengangkutan awam darat.

“Dengan duit pembayar cukai tersebut, kerajaan harus menggalakkan perkhidmatan bas ekspres atau bas sewa khas serta perkhidmatan rel melalui tawaran baucar tiket elektronik atau tambang diskaun,” ujarnya.

Selain itu, beliau yang juga seorang aktivis keselamatan jalan raya dan pengangkutan mampan menjelaskan, keperluan buat Kerajaan Persekutuan menggunakan RM180 juta secara purata setahun, bagi tujuan hari bebas tol kepada usaha menyelamatkan nyawa rakyat marhaen.

“Dalam situasi yang ideal dan sekiranya Kerajaan Persekutuan serius mahu melaksanakan subsidi bersasar, maka ia perlu disalurkan untuk penggunaan sasaran lancar pengangkutan awam antara negeri dengan menawarkan baucar atau tambang murah kepada golongan yang benar-benar memerlukan perjalanan yang selamat seperti kumpulan pengguna motosikal.

“Jangan kita lupa bahawa penunggang motosikal adalah kumpulan yang senantiasa merekodkan jumlah kematian jalan raya tertinggi pada musim perayaan.

“Contohnya dalam tempoh balik kampung Hari Raya, jika terdapat 24 kematian di jalan raya pada setiap hari, 20 daripadanya adalah pengguna motosikal,” katanya.

Tegasnya, RM180 juta setahun seharusnya disalurkan dengan bersungguh-sungguh semasa musim perayaan untuk pengembara ke Sabah dan Sarawak dan juga ke utara, selatan dan timur Semenanjung terutama untuk golongan berpendapatan rendah dan para pelajar institusi pengajian tinggi.

“Subsidi bersasar sepertimana kerajaan ingin melaksanakan boleh diperluaskan untuk rakyat marhaen dengan menggunakan perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan perkhidmatan landasan berkembar utara-selatan yang dijangka siap tidak lama lagi.

“Ia adalah situasi menang-menang yang boleh membantu negara jika Kerajaan Persekutuan tekad untuk laksana perkara yang bernas dan bukannya cenderung kepada keputusan popular apabila menggunakan wang pembayar cukai,” katanya.

Related Posts

Kemungkinan tiada PRN Negeri Sembilan namun terpulang kepada Tuanku Muhriz

KUALA LUMPUR – Negeri Sembilan dijangka tidak akan mengadakan pilihan raya negeri di tengah-tengah kemelut pemerintahan yang berlaku ketika ini. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Langkah drastik BN Negeri Sembilan makan diri, rakyat tolak politik tidak stabil

PUTRAJAYA – Tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun mencetuskan krisis persepsi negatif politik dalam Kerajaan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kemungkinan tiada PRN Negeri Sembilan namun terpulang kepada Tuanku Muhriz

Kemungkinan tiada PRN Negeri Sembilan namun terpulang kepada Tuanku Muhriz

Langkah drastik BN Negeri Sembilan makan diri, rakyat tolak politik tidak stabil

Langkah drastik BN Negeri Sembilan makan diri, rakyat tolak politik tidak stabil

Lebih banyak projek rumah mampu milik dirancang kerajaan Pahang

Lebih banyak projek rumah mampu milik dirancang kerajaan Pahang

Wan Rosdy optimis BN kekal jadi pilihan utama rakyat Pahang

Wan Rosdy optimis BN kekal jadi pilihan utama rakyat Pahang

Inisiatif MADANI bantu rakyat hadapi lonjakan kos susulan krisis Asia Barat

Inisiatif MADANI bantu rakyat hadapi lonjakan kos susulan krisis Asia Barat

Kandungan hina Sultan Selangor: MCMC ambil keterangan individu

Kandungan hina Sultan Selangor: MCMC ambil keterangan individu