TAWAU – Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung panggilan telefon yang berbaur ugutan jenayah mengancam menetak seorang wanita.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek berumur 36 tahun itu berjaya diberkas sepasukan Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) di sekitar kawasan gerai makanan, Sabindo kira-kira pukul 4.20 petang, pada Selasa.
“Tindakan diambil selepas mangsa berumur 31 tahun membuat laporan polis sebaik menerima panggilan telefon daripada suspek yang juga bekas suami rakannya kerana tidak berpuas hati tanpa sebab, Jumaat lalu.
“Suspek turut menyalahkan mangsa kerana membawa bekas isterinya keluar tanpa kebenarannya selain menyatakan niat untuk menetak mangsa dan rakan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.
Polis turut merampas telefon bimbit milik suspek dan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
“Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.
Kampung Siaga 221 perkasa kesiapsiagaan komuniti hadapi bencana
KOTA KINABALU – Program Kampung (Kg) Siaga 221 yang dilaksanakan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) penting dalam meningkatkan kesedaran dan kesiapsiagaan komuniti kampung menghadapi kemungkinan berlakunya bencana. Menteri di Jabatan…
Lebih lanjut

