
KOTA KINABALU – UMNO Sabah menegaskan bahawa ia memiliki kuasa autonomi sepenuhnya tanpa campur tangan atau arahan daripada UMNO Pusat, terutamanya dalam menentukan rakan gabungan pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah.
Ketua Penerangannya, Datuk Suhaimi Nasir berkata, UMNO Pusat tidak pernah mengarah atau mencampuri hal ehwal UMNO Sabah berkenaan perkara itu, sebaliknya hanya memberi nasihat berkaitan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
“UMNO Sabah mempunyai autonomi tersendiri yang memberi kebebasan kepadanya untuk melakar dan menentukan hala tuju politik UMNO Sabah sendiri.
“Perlu saya tegaskan, sehingga ke hari ini, UMNO Pusat tidak pernah mengarah atau mencampuri hal ehwal UMNO Sabah terutamanya dalam memilih rakan gabungan pada pilihan raya Sabah akan datang.
“UMNO Pusat melalui Majlis Kerja Tertinggi (MKT) hanya menasihati UMNO Sabah mengenai kerjasama BN dan PH demi kestabilan politik di Sabah kerana kedua-dua gabungan ini menjadi asas utama pembentukan Kerajaan Pusat,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau berkata, atas nasihat UMNO Pusat mengenai kerjasama BN dan PH adalah berdasarkan pengalaman pada penggal lalu yang menyaksikan tiga Perdana Menteri dan tiga kerajaan bertukar dalam satu penggal yang merugikan rakyat dan negara.
“Nasihat itu juga adalah kerana UMNO sebuah parti nasional dan perlu untuk mencapai keseimbangan agar tidak wujud konflik di antara UMNO Sabah dan UMNO Pusat, namun akhirnya keputusan dan punca kuasa terserah kepada UMNO Sabah,” katanya.
Suhaimi berkata, autonomi yang diberikan kepada UMNO Sabah bukanlah simbolik tetapi merupakan satu komitmen tinggi UMNO dalam menghormati hak dan suara rakyat Sabah.
“Autonomi ini akan terus diperkasakan untuk mengukuhkan kedudukan UMNO sebagai parti nasional yang memahami dan memperjuangkan kepentingan rakyat negeri ini.
“UMNO Sabah dan rakyat bagai akar di tanah, pucuk ke awan,” ujarnya.








