Kompleks Pendidikan Negeri Perak siap, tingkatkan pengurusan pendidikan

IPOH – Komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkasa kualiti pendidikan negara terus diperkukuh apabila Kompleks Pendidikan Negeri Perak yang baharu siap sepenuhnya diserahkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), sekali gus menjadi pemangkin kepada transformasi pengurusan pendidikan negeri ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, projek bernilai lebih RM56 juta itu bukan sekadar pembangunan fizikal, malah berperanan mempertingkat kecekapan penyampaian dasar pendidikan dari peringkat negeri hingga ke sekolah.

“Tiada apa yang lebih utama selain memastikan kualiti pendidikan di semua peringkat terus dipertingkatkan.

“Kompleks ini akan memperkukuh keupayaan pentadbiran pendidikan negeri dalam menterjemahkan dasar kepada pelaksanaan yang lebih berkesan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Siap Pembinaan Kompleks Pendidikan Negeri Perak, di sini pada Selasa.

Dibina di atas kawasan seluas 6.2 ekar, projek yang dimulakan pada tahun 2022 itu telah siap sepenuhnya pada Mac lalu dan menampilkan identiti seni bina tempatan sebagai mercu tanda baharu pendidikan negeri Perak.

Kompleks berkenaan kini mula diduduki secara berperingkat oleh warga Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) manakala operasi sepenuhnya dijangka bermula awal Julai.

Menurut Fadhlina, kemudahan serba lengkap termasuk makmal komputer serta pelbagai fasiliti moden yang disediakan akan dimanfaatkan secara optimum oleh warga pendidikan, sekali gus meningkatkan kecekapan pentadbiran.

Dalam pada itu, beliau menegaskan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035 memberi penekanan terhadap pengukuhan sistem penyampaian, khususnya peranan pentadbiran di peringkat negeri dan daerah sebagai penghubung utama antara dasar dan pelaksanaan di sekolah.

“Usaha konsisten Perak dalam merapatkan jurang pembangunan infrastruktur antara bandar dan luar bandar turut menyumbang kepada peningkatan prestasi pendidikan negeri,” katanya.

Perak sebelum ini mencatat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang memberangsangkan, termasuk peningkatan ketara prestasi sekolah luar bandar, sekali gus membuktikan pelaburan dalam infrastruktur pendidikan memberi impak langsung terhadap pencapaian akademik pelajar.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Zulkafli Mohamed Mokhtar dalam kenyataan berasingan merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek berkenaan.

Beliau berkata, kejayaan tersebut mencerminkan sinergi kukuh antara KPM, Jabatan Kerja Raya (JKR), Pejabat Pendidikan Daerah serta rakan strategik lain dalam merealisasikan pembangunan infrastruktur pendidikan yang kondusif, selesa dan berkualiti.

“Kompleks ini diharapkan menjadi pemangkin kepada kecemerlangan pendidikan negeri serta menyokong agenda reformasi pendidikan negara demi masa depan generasi anak bangsa,” katanya.

Foto: FB Fadhlina Sidek

Related Posts

Rumah api Tanjung Lobang berpotensi diperkasa sebagai tapak warisan sejarah Miri

MIRI – Tanjung Lobang Lighthouse berpotensi diperkasakan sebagai salah satu tapak warisan sejarah penting di bandar raya Miri susulan lawatan tapak yang diadakan baru-baru ini bagi meninjau usaha penambahbaikan kawasan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Pemerkasaan pendidikan dan warisan Bidayuh harus dipelihara

KUCHING – Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn menegaskan peranan penting Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) dalam memelihara warisan masyarakat Bidayuh, memperkukuh perpaduan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Rumah api Tanjung Lobang berpotensi diperkasa sebagai tapak warisan sejarah Miri

Rumah api Tanjung Lobang berpotensi diperkasa sebagai tapak warisan sejarah Miri

Pemerkasaan pendidikan dan warisan Bidayuh harus dipelihara

Pemerkasaan pendidikan dan warisan Bidayuh harus dipelihara

Pelan kesinambungan bekalan minyak negara diumum pertengahan bulan ini

Pelan kesinambungan bekalan minyak negara diumum pertengahan bulan ini

Ceelecia dinobat Unduk Ngadau peringkat daerah Sandakan 2026

Ceelecia dinobat Unduk Ngadau peringkat daerah Sandakan 2026

Pesta Kaamatan medan erat hubungan politik tanpa mengira parti – James

Pesta Kaamatan medan erat hubungan politik tanpa mengira parti – James

PM imbau kenangan bersama SMK Banggi

PM imbau kenangan bersama SMK Banggi