
RAUB – Dinamika politik semasa yang melibatkan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan dilihat sebagai cabaran biasa dalam proses membentuk kestabilan politik jangka panjang, kata pensyarah kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Kajian Polisi UiTM Pahang Kampus Raub, Dr Che Hamdan Che Mohd Razali.
Menurut beliau, merujuk kepada situasi politik di Negeri Sembilan, kedua-dua parti yakni Pakatan Harapan(PH) dan UMNO yang terlibat pada ketika ini berada dalam keadaan defensif berikutan tekanan dalaman daripada ahli dan penyokong masing-masing terhadap pendekatan kepimpinan yang diambil.
“Umumnya, kita kena terima hakikat bahawa kedua-dua parti berada dalam keadaan defensif disebabkan masalah dalaman masing-masing. Tekanan daripada ahli dan penyokong terhadap beberapa pendekatan pimpinan membawa kepada pergolakan,” katanya ketika ditemu bual The Malaysia Press.
Bagaimanapun jelas beliau, hubungan kerjasama yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum (PRU) lalu khususnya di peringkat kepimpinan elit telah membantu meredakan konflik yang timbul.
“Namun begitu, atas prinsip kerjasama yang dijalinkan selepas PRU lalu khusus di kalangan elit pemimpin, penyelesaian seperti ini sangat dialu-alukan. Sebenarnya, cabaran yang banyak dilalui selama menjadi kerajaan bersama ini telah membantu dalam menyelesaikan konflik,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau mengakui krisis yang berlaku sedikit sebanyak memberi kesan terhadap hubungan antara parti dalam kerajaan, namun situasi itu bukan sesuatu yang berlaku secara tiba-tiba.
“Sedikit sebanyak ia menjejaskan hubungan, namun kita harus ingat bahawa krisis di Negeri Sembilan ini adalah lanjutan episod ketidakpuasan hati semenjak awal pemerintahan lagi,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut memuji pendekatan yang digunakan melalui Majlis Perundingan Kerajaan Perpaduan dalam menguruskan konflik secara matang dan tersusun.
“Mekanisme menguruskan konflik melalui Majlis Perundingan Kerajaan Perpaduan harus dipuji kerana ia membantu memastikan kestabilan politik dapat dikekalkan,” katanya lagi.
Mengulas mengenai masa depan landskap politik negara, beliau berpandangan bahawa bentuk koalisi yang bakal mentadbir negara selepas ini sukar dijangka kerana ia bergantung sepenuhnya kepada keputusan pilihan raya.
“Dalam konteks politik Malaysia hari ini, kita sukar untuk mengandaikan bentuk koalisi yang bakal memerintah kerana semuanya bergantung kepada keputusan pilihan raya. Masing-masing dilihat terbuka untuk bekerjasama asalkan dapat membentuk kerajaan,” jelasnya.
Tambah beliau, keputusan untuk bertanding secara bersendirian juga mempunyai risiko besar kepada mana-mana parti politik dalam suasana politik semasa negara.
“Risiko bagi setiap parti politik yang membuat keputusan untuk bertanding secara bersendirian adalah lebih besar ketika ini,” katanya.








