MALAYSIA sedang meneliti semula program tenaga nuklear sebagai sumber tenaga berpotensi bagi memenuhi permintaan tenaga semakin meningkat, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, kajian menyeluruh sedang dijalankan memandangkan pertumbuhan industri, pengembangan pusat data serta penggunaan kenderaan elektrik yang pesat telah meningkatkan permintaan tenaga negara.
“Keputusan mengenai tenaga nuklear akan dibuat berdasarkan dapatan berasaskan maklumat serta panduan piawaian antarabangsa, bagi memastikan ia sesuai dengan keperluan dan keadaan unik Malaysia.
“Tenaga nuklear, yang diiktiraf sebagai antara sumber tenaga terbersih di peringkat global, turut menjadi pertimbangan kita.
“Pada COP28, lebih 20 negara menyatakan komitmen meningkatkan penjanaan tenaga nuklear sebanyak tiga kali ganda, menunjukkan peranan penting sumber ini,” katanya ketika satu program di Petaling Jaya, hari ini.
Fadillah menjelaskan, kajian rapi sedang dijalankan bagi menilai daya maju tenaga nuklear sebagai sebahagian daripada campuran tenaga negara.
Kajian itu dijalankan dengan kerjasama MyPower Corporation serta Agensi Nuklear Malaysia, yang memberi tumpuan kepada teknologi nuklear termaju, langkah keselamatan, rangka kerja kawal selia, dan libat urus dengan pihak berkepentingan termasuk orang awam.
“Malaysia kekal komited terhadap sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, dengan penyahkarbonan sektor tenaga menjadi keutamaan memandangkan ia antara penyumbang terbesar pelepasan karbon negara,” ujarnya.




