
SIMPANG PULAI – Mewujudkan laman strawberi adalah inisiatif pihak guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Raya, Jalan Cameron Highlands, di sini, bagi menggalakkan kehadiran pelajar dalam kalangan masyarakat Orang Asli datang ke sekolah saban hari.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja, Sandrea Ng berkata, melalui pendekatan tanam buah strawberi, anak-anak lebih bersemangat ke sekolah setiap hari.
Mereka akan menjaga pokok strawberi yang dilabel dengan nama sendiri.
“Dengar lucu, tetapi hasilnya bagus.
“Dengan inisiatif mewujudkan laman strawberi, anak-anak lebih bersemangat ke sekolah setiap hari kerana pokok tersebut dilabel nama mereka sendiri.
“Secara tidak langsung, ia dapat mengalakkan dan meningkatkan kehadiran pelajar Orang Asli untuk ke sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan ke SK Pos Raya, Jalan Cameron Highlands, Simpang Pulai, baru-baru ini.

Tambah Sandrea, setiap sekolah mempunyai titik permulaan dan cabaran berbeza.
Ujarnya, ada sekolah yang masih berusaha dengan cara paling sederhana dalam menanam rasa seronok dan minat dalam pembelajaran.
“Ketika banyak sekolah di bandar berbicara tentang meningkatkan kemudahan digital dan memperkenalkan pembelajaran pintar, ada sekolah yang masih berusaha dengan paling sederhana untuk menarik minat pelajar dalam pembelajaran.
“Setiap sekolah mempunyai titik permulaan dan cabaran berbeza.
“Apa yang penting, kita semua terus melangkah dan mengatasi halangan dengan meraikan setiap usaha dan saling memberi sokongan,” ujar beliau.
SK Pos Raya merupakan sebuah sekolah luar bandar yang terletak 30 kilometer dari Bandaraya Ipoh.
Ia dibina pada tahun 1970 untuk memberi pendidikan kepada murid dari suku kaum Semai dan Temiar.
Sehingga kini, sekolah tersebut telah mengalami banyak peningkatan prasarana sejak ditubuhkan.





