
PUTRAJAYA – Kerajaan tidak bercadang mendedahkan butiran minit mesyuarat Lembaga Pengampunan kepada umum bagi menghentikan spekulasi berhubung kewujudan Titah Adendum.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, ini kerana maklumat yang terkandung adalah perkara sulit yang tidak boleh dimaklumkan kepada orang awam.
Menurutnya, hanya Lembaga Pengampunan yang mempunyai kuasa untuk mendedahkan perkara tersebut.
“Minit mesyuarat adalah perkara sulit. Jadi kita tidak boleh buat perkara itu.
“Jadi itu hanya hak Lembaga Pengampunan. (Sehubungan itu), minit mesyuarat tidak akan didedahkan,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Kiosk Sentuhan Madani di Alamanda, hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut dihadiri oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Semalam, Pengerusi Biro Antarabangsa PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin, menyarankan kerajaan mendedahkan butiran minit mesyuarat Lembaga Pengampunan kepada umum bagi menghentikan spekulasi berhubung kewujudan Titah Adendum.
Shamsul Iskandar dilaporkan berkata, ia bagi memberi penjelasan sebenar mengenai titah tambahan dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah.
Selain itu, katanya, ia juga sebagai langkah bagi memastikan ketelusan dan menghalang sebarang manipulasi proses untuk kepentingan politik.


