
SANDAKAN – Takut dimarahi suami masing-masing, dua suri rumah bertindak membuat laporan palsu kononnya menjadi mangsa samun di Bandar Sandakan pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner (ACP) Abdul Fuad Abdul Malek berkata, dua wanita itu dikatakan terdesak untuk mendapatkan wang sehingga sanggup menggadaikan telefon bimbit semata-mata keinginan mahu membeli barangan komestik.
“Pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 12.05 tengah hari pada Rabu.
“Seorang pengadu wanita berusia 34 tahun bersama rakannya yang berusia 20 tahun mendakwa menjadi mangsa samun.
“Dalam kejadian tersebut, kononnya dua unit telefon bimbit mereka dan wang berjumlah RM136 didakwa dilarikan oleh tiga orang suspek bersenjatakan pisau pada pukul 7 malam hari sebelumnya di Bandar Sandakan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Namun, polis bertindak atas maklumat dan siasatan yang dijalankan mendapati keterangan yang diberikan pengadu dan rakannya tidak konsisten dan diragui.
Jelas beliau, siasatan lanjut mendedahkan bahawa kejadian samun tersebut tidak berlaku, sebaliknya kedua-dua wanita itu menggadaikan telefon bimbit mereka di sebuah kedai pajak.
Abdul Fuad menegaskan bahawa kedua-dua wanita tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberi maklumat palsu.
Beliau juga mengingatkan orang awam agar tidak sesekali membuat laporan palsu kerana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.




