KUANTAN – Seorang peniaga berusia 67 tahun dari Temerloh rugi RM117,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud yang ditawarkan melalui aplikasi WhatsApp.
Dalam laporan diterima polis semalam, pada 8 November lalu, mangsa ditawarkan menyertai skim pelaburan menjanjikan pulangan lumayan.
Suspek juga mendakwa dia berjawatan tinggi dalam bursa saham dan menyatakan tiada cukai pelaburan dikenakan sekiranya menyertai pelaburan pada hari berkenaan.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa membuat sembilan transaksi menggunakan wang simpanannya ke lapan akaun bank berlainan dengan jumlah keseluruhan RM117,000.
“Mangsa menyedari ditipu apabila gagal berhubung dengan suspek dan tidak menerima sebarang keuntungan seperti yang dijanjikan.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yahaya menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan sebelum menyertai sebarang pelaburan dalam talian untuk mengelak menjadi mangsa penipuan.




