
TANGKAK – Seorang penganjur festival dipanggil polis susulan penularan gambar di media sosial memaparkan sebuah replika roket yang tertera bendera negara China di sayap kiri dan kanan objek tersebut.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib berkata, penganjur berkenaan dipanggil bagi memberikan keterangan berhubung kejadian yang berlaku dalam acara Festival Lampu LED di pekarangan Dewan Serbaguna Bukit Gambir, di sini, semalam.
“Polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 susulan terdapat laporan oleh orang awam berhubung kejadian itu.
“Laporan dibuat kerana pengadu berasa tidak puas hati dengan sebuah replika roket yang tertera logo bendera republik rakyat China di festival berkenaan seperti disiarkan dalam satu Facebook.
“Pengadu juga membaca komen oleh penduduk kawasan Bukit Gambir yang mana menimbulkan rasa tidak selesa dengan keberadaan replika roket menampilkan logo bendera republik rakyat China,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Justeru katanya, polis menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang dan boleh menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.
Tambahnya, sebarang maklumat aktiviti jenayah boleh disalurkan menerusi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak 06-9785222.
Terdahulu tular foto yang memaparkan replika roket gergasi dengan bendera negara China diletakkan pada bahagian sayapnya semasa festival itu di pekarangan dewan berkenaan.



