ALOR SETAR – Calon mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri akan diumumkan hujung bulan ini.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, setakat ini, tiga nama calon daripada Bersatu telah disenarai pendek untuk dimuktamadkan sebelum hari penamaan calon pada 3 Ogos nanti.
Beliau berkata, buat masa ini, PN belum membuat keputusan calon dipilih daripada Bersatu ataupun Pas.
“Dari parti mana (bertanding) sekarang, saya tak ada masalah.
“Jikalau Bersatu, (maka) Bersatulah (dan) jikalau Pas, (maka) Paslah atas nama PN.
“Ada kenyataan daripada Pemuda Pas kawasan minta calon Pas tapi kita faham kerusi itu dulu milik Bersatu, Bersatulah bertanding. Saya rasa tak berubah kot,” katanya ketika diminta mengulas mengenai jangkaan tarikh pengumuman calon PN bagi DUN Nenggiri.
Muhammad Sanusi memberitahu, PN akan membuat satu keputusan tentang hal calon bertanding dari parti selepas ini.
“Saya difahamkan ada tiga calon (dan) ketiga-tiga itu akan dibuat pertimbangan,” katanya lagi seperti dilapor Sinar Harian.
Sebelum ini, media melaporkan Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan selepas DUN menerima notis bertulis mengikut Fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Tubuh Negeri Kelantan pada 12 Jun lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya kemudiannya mengumumkan 17 Ogos depan sebagai tarikh PRK DUN Nenggiri.









