
LAHAD DATU – Duta Besar Republik Korea, Tuan Yang Terutama Yeo Seung Bae menzahirkan penghargaan dan terima kasih atas usaha Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) memastikan keselamatan pelancong Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) sentiasa terpelihara dan terjamin.
Seung Bae menzahirkan perkara itu semasa melakukan kunjungan ke ESSCOM di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan keselesaan dengan kunjungan itu yang disifatkan amat penting untuk rakyatnya mengetahui keselamatan di ESSZONE yang sekali gus meningkatkan kehadiran pelancong Republik Korea ke Sabah.
Sementara itu, Komander ESSCOM Deputi Komisioner Datuk Victor Sanjos berharap agar kunjungan berkenaan dapat mengukuhkan lagi hubungan antara kedua belah pihak dan paling utama selaras dengan hasrat Kementerian Dalam Negeri melalui ESSCOM.
“Kita berharap kerajaan Republik Korea dapat memberi keutamaan menarik balik nasihat perjalanan dan menggalakkan rakyatnya untuk datang berkunjung ke pantai Timur Sabah.
“Mudah-mudahan selepas kunjungan ini statistik kemasukan pelancong dari Republik Korea akan menunjukkan peningkatan yang signifikan,” katanya.
Terdahulu, Duta Besar Republik Korea dan delegasi telah diberikan taklimat mengenai tahap keselamatan dan kesejahteraan masyarakat yang telah semakin mengukuh di ESSZONE sejak lebih 11 tahun.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ESSCOM Datuk Dr. Jamaluddin Mohd. Ali, Timbalan Komander ESSCOM Brigadier Jeneral Mohamad Ismail Kamarudin, Ketua Staf dan Pengarah Awam ESSCOM serta pegawai-pegawai kanan ESSCOM dan Kedutaan Besar Republik Korea.






