
KEMENJADIAN mahasiswa menjadi fokus Kementerian Pengajian Tinggi pada tahun hadapan, kata Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Ts. Mustapha Sakmud.
Mustapha berkata, dengan meletakkan kemenjadian mahasiswa sebagai fokus KPT, ia dapat membantu dalam menghidupkan ekosistem budaya ilmu dalam kementeriannya.
“Pada tahun hadapan kita akan terus pertingkatkan dan fokus kita ialah memastikan bahawa kemenjadian mahasiswa kita untuk menjadi tenaga mahir negara.
“Kita juga mahu supaya pensyarah-pensyarah muda kita yang bakal menjadi pelapis akan juga diperkasakan supaya ekosistem budaya ilmu ini dapat dihidupkan, dibudayakan dalam kementerian ini,” katanya menerusi hantarannya yang dimuat naik di laman Facebook pada Jumaat.
Jelasnya, setelah genap setahun KPT diterajui oleh menterinya, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir kementerian ini telah berjaya menjadi satu institusi yang mengangkat nilai ilmu.
“Kita telah banyak melakukan program berorientasikan ilmu dengan tradisi keilmuan yang kukuh seperti Festival of Ideas, juga ada Forum Ilmuwan Malaysia Madani yang dianjurkan setiap bulan bersama GLIC kita.
“Ini telah mengangkat nilai keilmuan itu dalam kalangan masyarakat, teknokrat, pelajar, ahli akademik dan segala lapisan masyarakat,” ujarnya.
Tambahnya, beliau turut berasa bangga kerana dapat bersama-dalam KPT dalam mengangkat pelajar-pelajar universiti, politeknik dan kolej komuniti ke satu tingkat yang membudayakan ilmu.

