
LAHAD DATU – Seramai 180 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Filipina dari depot Imigresen Sandakan dipindahkan balik semula ke negara asal dengan program pembiayaan sendiri.
Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, kadar pembayaran tiket pengangkutan feri dan laut yang dikenakan adalah RM375 bagi penumpang dewasa, RM210 bagi kanak-kanak berumur lima hingga 13 tahun dan percuma untuk kanak-kanak bawah 4 tahun.
“Jumlah itu membabitkan 84 lelaki, 61 wanita, 15 kanak-kanak lelaki dan 20 kanak-kanak perempuan berumur setahun hingga 65 tahun dihantar melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Lahad Datu ke Bongao Filipina pada Jumaat.
“Kesemua PATI yang dipindahkan telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” jelasnya dalam kenyataan media di sini pada Jumaat.
Menurut Sh Sitti Saleha, setakat 2024, seramai 5,683 PATI warga Filipina direkodkan pulang ke negara asal melalui pengangkutan laut.
“Jumlah keseluruhan PATI yang berjaya dipindahkan adalah seramai 8,337 orang dan mereka akan disenarai hitam dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengikut jenis kesalahan yang dilakukan,” katanya.






