
KOTA KINABALU – Sebanyak 17,190 unit kalkulator saintifik disumbangkan kepada pelajar-pelajar di Sabah menerusi kerjasama strategik Yayasan Petronas, Petronas Floating LNG (PFLNG) dan SLB.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, sumbangan tersebut amat bermakna dalam membantu pelajar mengharungi cabaran pembelajaran, khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Beliau berkata, inisiatif itu sebagai manifestasi komitmen Jabatan Pendidikan Negeri Sabah sebagai peneraju Program WeHelp termasuk semua pihak dalam memacu kemajuan pendidikan anak-anak Sabah khususnya dalam STEM.
“Usaha bersama ini menunjukkan kesepakatan kita untuk memastikan setiap pelajar di Sabah menerima peluang pendidikan yang sama rata.
“Kehadiran saya menunjukkan bukti sokongan Kerajaan Negeri terhadap usaha membangunkan modal insan negeri Sabah.
“Sumbangan kalkulator saintifik ini sangat penting dalam membantu pelajar menghadapi cabaran pembelajaran.
“Ia bukan sekadar mengenai peralatan tetapi membawa inspirasi dan harapan kepada pelajar serta simbol kepercayaan terhadap potensi anak-anak Sabah,” katanya sempena Majlis Penyerahan Sumbangan Kalkulator Saintifik bagi Program ‘WeHelp’ di sini pada Jumaat.
Tambahnya, Program ‘WeHelp’ terus menjadi bukti komitmen pelbagai pihak dalam memastikan pendidikan berkualiti dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, khususnya pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan.
“Bayangkan impak yang dapat kita lihat kelak, anak-anak yang hari ini mungkin belajar dalam kekurangan, mampu bangkit dan menjadi tenaga pakar yang akan menyumbang kepada kemajuan negeri dan negara.
“Saya menyeru lebih banyak syarikat korporat tampil menyokong program seperti ini. Usaha seperti ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar malah memperkukuh pembangunan modal insan di negeri ini.
“Kerjasama ini mencerminkan kesepakatan untuk memastikan setiap pelajar di Sabah mendapat peluang pendidikan yang sama rata,” katanya.
Ariffin berkata Kerajaan Negeri turut mengalu-alukan inisiatif ini yang selari dengan aspirasi Sabah Maju Jaya untuk melahirkan modal insan berkemahiran tinggi bagi menyokong pembangunan negeri.
“Dengan sokongan ini, kita berharap pelajar terus bermotivasi untuk mengatasi cabaran dan mencipta masa depan yang lebih cerah, bukan sahaja untuk diri mereka, tetapi juga untuk komuniti dan negeri tercinta ini,” ujar beliau.




