
GAZA – Jumlah kanak-kanak yang mengalami pelbagai jenis kecederaan dan dimasukkan untuk rawatan di Gaza meningkat kepada 4,000 sebulan sejak Julai, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Memetik Pejabat Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), jurucakap PBB Stephane Dujarric berkata, OCHA melaporkan bahawa cabaran akses yang serius terus menghalang rakan-rakan kemanusiaan daripada dapat menjalankan pemeriksaan secara berkala untuk mengesan kes-kes kekurangan zat makanan yang memerlukan rawatan.
“Setakat suku keempat tahun 2024, mereka telah melengkapkan lebih 151,000 saringan seperti itu daripada 346,000 kanak-kanak di bawah umur 5 tahun di Gaza. Sejak Julai, bilangan kanak-kanak yang dimasukkan untuk rawatan telah meningkat kepada lebih 4,000 sebulan,” katanya.
Menyoroti usaha PBB dan rakan-rakan kerjanya dalam menangani kelaparan di Gaza, Dujarric berkata di Deir al-Balah, harga satu beg tepung 25kg melonjak kepada bersamaan sekurang-kurangnya 280 dolar, di tengah-tengah kekurangan bekalan yang teruk, sementara di Khan Younis, harganya bersamaan 244 dolar.
“Kemasukan bekalan makanan yang lebih banyak ke Gaza dengan segera adalah penting untuk menangani krisis kelaparan yang semakin mendalam di seluruh Semenanjung,” tambahnya.
Ketika ditanya tentang laporan New York Times yang mendakwa beberapa pegawai agensi PBB untuk pelarian Palestin (UNRWA) adalah anggota Hamas, Dujarric berkata, PBB telah menghubungi penerbit berita tersebut mengenai laporan itu.
“Saya rasa yang menarik adalah laporan-laporan itu dikongsi oleh alat keselamatan Israel dengan New York Times, bukannya dengan UNRWA yang, setiap kali menerima maklumat, telah mengambil tindakan.
“Kami komited untuk melakukan apa sahaja yang kami mampu untuk memastikan neutraliti UNRWA dalam operasinya dan kakitangannya,” katanya.








