FGV Holdings Berhad (FGV) menyediakan peruntukan RM800,000 menerusi misi bantuan banjir bagi membantu mangsa dan golongan peneroka yang terjejas di Kelantan.
Pengerusinya, Tan Sri Rastam Mohd Isa berkata, daripada jumlah itu, RM71,600 telah disalurkan sebagai bantuan awal kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) untuk meringankan beban peneroka dan membeli peralatan bagi persiapan menghadapi musim banjir tahun ini.
Sejumlah RM150,000 pula diberikan untuk misi yang bermula hari ini hingga Jumaat, membabitkan 1,200 keluarga.
“Barangan keperluan asas dan produk makanan keluaran FGV berjumlah RM120,000 seperti minyak masak, beras, krimer pekat, gula dan mi segera jenama Saji akan disumbangkan kepada penduduk terjejas banjir di Kelantan.
“Selain itu juga, tiga institusi di Tumpat, Kelantan iaitu Masjid Masjid Hidayatul Musttaqim Mukim Pak Kerau, Masjid Al Mu’min Taman Sri Dalam Rhu, Sekolah Menengah Ugama (A) Nurul Huda, Kajang Sebidang akan menerima bantuan RM10,000 setiap satu,” katanya ketika Majlis Pelepasan Konvoi Bantuan Banjir FGV Holdings Berhad Ke Kelantan di Wisma FGV, hari ini.
Rastam memaklumkan misi menerusi kerjasama Muslim Care Malaysia (MCM) itu memberi keutamaan kepada Kelantan memandangkan negeri itu paling terkesan akibat bencana banjir tahun ini.
Tambahnya, baki peruntukan berkenaan juga akan dimanfaatkan sebagai persediaan menghadapi kemungkinan gelombang banjir seterusnya.





