PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MoT) terus melaksanakan bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan sehala bagi laluan dari Semenanjung Malaysia ke Sabah, Sarawak serta Labuan sempena musim perayaan utama bagi 2024 dan 2025.
MoT dalam satu kenyataan memaklumkan bantuan itu adalah bagi perayaan Krismas tahun ini, manakala untuk tahun depan pula sempena Tahun Baharu Cina, Aidilfitri, Kaamatan dan Gawai serta Krismas.
“Pelaksanaan inisiatif ini akan ditambah baik dengan pemberian subsidi harga tiket penerbangan sehala kepada setiap penumpang bagi laluan domestik menghubungkan Semenanjung Malaysia dengan Sabah, Sarawak dan Labuan untuk tiket berharga lebih RM499.
“Harga ini tidak termasuk cukai dan fi. Penetapan harga maksimum RM499 ini adalah penurunan harga ambang ditetapkan sebelum ini, iaitu RM599,” menurut kenyataan itu.
Kerajaan akan membayar perbezaan harga antara harga asal tiket penerbangan dengan harga maksimum dikenakan.
Kenyataan itu turut menjelaskan tempoh pelaksanaan inisiatif berkenaan juga akan dilanjutkan dari tiga hari kepada empat hari perjalanan sebelum tarikh sambutan perayaan utama, iaitu bermula 21 hingga 24 Disember ini bagi Krismas, manakala bagi Tahun Baharu Cina pula dari 25 hingga 28 Januari.
Bagi sambutan Aidilfitri, tarikh pelaksanaan tambang maksimum sempena perayaan itu ditetapkan pada 27 hingga 30 Mac tahun depan, manakala bagi Kaamatan dan Gawai masing-masing bermula 26 hingga 29 Mei dan 28 hingga 31 Mei, dengan Krismas tahun depan pula ditetapkan dari 21 hingga 24 Disember.
Katanya, penetapan harga tambang tetap akan dilaksanakan bermula tengah malam 6 Disember ini dan orang ramai boleh membeli tiket melalui laman sesawang syarikat-syarikat penerbangan bermula tarikh itu.








