
SANDAKAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan menahan 10 individu dan merampas aset bernilai RM508,352.50 dalam empat kes penguatkuasaan berasingan di sekitar Sandakan, pada Rabu.
Pengarah Maritim Zon Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, kes berkenaan membabitkan tiga bot nelayan tempatan, sebuah bot pancung dan sebuah premis di Kampung (Kg) Seng Kee.
Menurutnya, tiga bot nelayan tempatan ditahan dalam operasi berasingan pada awal pagi, masing-masing kira-kira jam 2.50 pagi, 3.14 pagi dan 3.30 pagi.
“Pemeriksaan terhadap bot pertama mendapati ia dikendalikan seorang tekong warga Malaysia bersama dua awak-awak bukan warganegara, selain membawa hasil laut dianggarkan seberat 50 kilogram (kg).
“Bot kedua pula dikendalikan seorang tekong warga Malaysia bersama seorang awak-awak bukan warganegara, dengan pemeriksaan menemukan hasil laut dianggarkan seberat satu tan, lima tong gas petroleum cecair (LPG) berkapasiti 14kg setiap satu serta peralatan dan dokumen berkaitan,” katanya dalam kenyataan, pada Khamis.

Beliau berkata, bot nelayan tempatan ketiga dikendalikan seorang tekong warga Malaysia bersama tiga awak-awak, termasuk seorang bukan warganegara.
Pemeriksaan terhadap bot itu turut menemukan hasil laut dianggarkan seberat satu tan, lima tong gas LPG berkapasiti 14kg setiap satu serta dokumen dan peralatan berkaitan.
Muhamad Suhairy berkata, nilai rampasan membabitkan ketiga-tiga bot nelayan tempatan itu dianggarkan berjumlah RM456,400.
Dalam kes berasingan, pihaknya turut memeriksa sebuah bot pancung tanpa nombor pendaftaran dan sebuah premis di Kg Seng Kee.
“Pemeriksaan menemukan 25 tong ‘jerrycan’ berkapasiti 30 liter setiap satu yang mengandungi keseluruhan 750 liter minyak diesel.
“Kes ini turut membabitkan rampasan sebuah bot pancung dan enjin sangkut Yamaha berkuasa 250 kuasa kuda, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM51,952.50,” ujarnya.

Beliau berkata, semua kes disiasat mengikut peruntukan undang-undang berkaitan, termasuk Akta Imigresen 1959/63, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Enakmen Pelabuhan-Pelabuhan Sabah 2002, tertakluk pada hasil siasatan setiap kes.
Maritim Malaysia akan terus mempergiat rondaan dan penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti menyalahi undang-undang serta memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara terpelihara.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Maritim Zon Sandakan menerusi talian 089-229504 atau talian kecemasan 999.






