HO CHI MINH – Mahkamah Vietnam menolak rayuan taikun hartanah, Truong My Lan dan mengekalkan hukuman mati ke atasnya berhubung penipuan bank bernilai lebih AS$12 bilion, lapor Agensi Anadolu yang memetik media tempatan.
Mahkamah rayuan di Ho Chi Minh City itu mengesahkan hukuman mati, menyatakan tiada alasan sah untuk mengurangkan hukuman, lapor akhbar dalam talian VnExpress.
“Jenayah Lan menyebabkan akibat yang sangat serius dan tiada keadaan yang boleh meringankan hukuman atas kesalahan penyelewengan dan rasuah,” kata panel hakim dalam keputusan berkenaan.
Namun, undang-undang membenarkan hukuman mati dikurangkan kepada seumur hidup jika pihak yang bersalah membayar pampasan tiga perempat daripada kerugian yang mereka sebabkan, kata panel hakim itu.
Lan adalah taikun hartanah terkemuka di Vietnam, dijatuhi hukuman mati pada Oktober kerana peranannya dalam penipuan kewangan terbesar di negara itu.
Lan dan rakan sejenayahnya yang lain didapati bersalah menggelapkan dana milik Saigon Commercial Bank dan menyebabkan kerugian berbilion dolar lebih sedekad.







