
AMMAN – Sekurang-kurangnya 25 orang terkorban dalam serangan udara yang dilancarkan oleh kerajaan Syria dan Rusia di barat laut Syria pada awal pagi Isnin , menurut perkhidmatan penyelamat yang dikendalikan pembangkang Syria, dikenali sebagai White Helmets.
Menurut sumber tentera, pada Ahad, jet pejuang Rusia dan Syria menyerang bandar Idlib yang dikuasai pembangkang di utara Syria ketika Presiden Bashar al-Assad berikrar untuk menghancurkan pemberontak yang telah memasuki bandar Aleppo malah tentera telah berjaya menawan semula beberapa bandar yang sebelum ini dikuasai oleh puak pembangkang sebelum ini, lapor portal Asharq Al Awsat.
Penduduk tempatan berkata, salah satu serangan telah mengenai kawasan perumahan yang padat di pusat bandar Idlib, bandar terbesar di kawasan pembangkang berhampiran sempadan Turki yang menempatkan kira-kira empat juta orang yang tinggal di khemah dan kediaman sementara.
Menurut pasukan penyelamat di lokasi kejadian, sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera manakala tentera Syria dan sekutunya, Rusia, mendakwa mereka menyasarkan tempat persembunyian kumpulan pemberontak dan menafikan menyerang orang awam.
Sepuluh kanak-kanak adalah antara mangsa yang terkorban dalam serangan udara di sekitar Idlib dan sasaran lain di kawasan pembangkang berhampiran Aleppo pada Ahad, menurut White Helmets.
Jumlah keseluruhan korban akibat serangan Syria dan Rusia sejak 27 November telah meningkat kepada 56 orang, termasuk 20 kanak-kanak, tambah kumpulan itu dalam satu kenyataan di platform X.
Pemberontak merupakan gabungan kumpulan bersenjata sekular yang disokong Turki bersama Hayat Tahrir al-Sham, kumpulan yang telah diisytiharkan sebagai organisasi pengganas oleh AS, Rusia, Turki, dan negara-negara lain.
Pemberontak berjaya menguasai keseluruhan wilayah Idlib dalam beberapa hari sahaja sebelum melancarkan serangan paling berani dalam perang saudara yang terakhir berlaku sejak 2020.
Pemberontak juga menyerbu bandar Aleppo, yang terletak di timur Idlib, pada malam Jumaat, memaksa tentera untuk menyusun semula kedudukan mereka di mana dalam satu kenyataan Assad berkata, “Pengganas hanya memahami bahasa kekerasan, dan itulah bahasa yang akan kami gunakan untuk menghancurkan mereka.”
Tentera Syria melaporkan bahawa berpuluh-puluh askarnya terbunuh dalam pertempuran di Aleppo malah penulis blog perang Rusia melaporkan pada Ahad bahawa Moscow telah memecat Sergei Kisel, jeneral yang bertanggungjawab ke atas tenteranya di Syria, selepas pemberontak memasuki Aleppo.
Dalam satu kenyataan bersama, Amerika Syarikat, Perancis, Jerman, dan Britain menyeru “penurunan ketegangan oleh semua pihak dan perlindungan orang awam serta infrastruktur untuk mengelakkan lebih banyak perpindahan dan gangguan akses kemanusiaan.”
Sementara itu, di bandar Aleppo, jalan-jalan kebanyakannya lengang dan banyak kedai ditutup apabila penduduk yang ketakutan memilih untuk tinggal di rumah, pergerakan orang awam yang meninggalkan bandar itu masih berterusan, menurut saksi dan penduduk tempatan.
Pejuang pembangkang yang mengibarkan bendera pembangkang berarak melalui bandar itu, menurut Yusuf Khatib, seorang penduduk, kepada Reuters melalui telefon. Sebahagian daripada pembangkang mengambil posisi di persimpangan jalan, tambahnya.
Ahmad Tutenji, seorang pedagang di kawasan elit New Aleppo, berkata dia terkejut dengan bagaimana tentera meninggalkan kawasan itu dengan pantas. “Saya terkejut bagaimana mereka lari dan meninggalkan kami.”
Abdullah al-Halabi, seorang pesara yang tinggal di kawasan yang dibom berhampiran kawasan pusat Qasr al-Baladi, berkata penduduk sangat takut mereka akan mengalami semula pengeboman yang dilakukan oleh Rusia sehingga menyebabkan ribuan orang terbunuh sebelum mengusir pembangkang satu dekad lalu.
Tentera Syria yang telah berundur dari bandar itu kini sedang menyusun semula pasukan mereka, dan bala bantuan juga sedang dihantar untuk membantu serangan balas, menurut sumber tentera.
Aleppo telah berada di bawah kawalan kerajaan sejak kemenangan besar pada 2016, salah satu titik perubahan besar dalam perang itu, apabila pasukan Syria yang disokong Rusia mengepung dan memusnahkan kawasan timur yang dikuasai pembangkang di bandar terbesar negara itu.
Pembangkang pada Ahad berkata mereka telah mara lebih jauh ke selatan Aleppo dan menawan bandar Khansir dalam usaha untuk memutuskan laluan bekalan utama tentera ke Aleppo. Sumber pembangkang juga mendakwa mereka telah menguasai kawasan Sheikh Najjar, salah satu zon perindustrian utama negara.








