
PUTRAJAYA – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), menghargai usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengurangkan kos kerajaan dan memastikan pengurusan kewangan awam yang lebih efisien.
Bagaimanapun, Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, terdapat keperluan pemantauan yang berterusan dan kerangka polisi yang kukuh bagi memastikan integriti kerajaan tidak pernah dikompromi.
Menurutnya, pihaknya sentiasa menyokong agenda Malaysia Madani, khususnya dalam aspek integriti, ketelusan, serta akauntabiliti dan mempercayai jika langkah itu diuruskan dengan baik, ia mampu menjadi contoh kepada amalan terbaik di rantau ini.
“MCW menyokong sepenuhnya pendekatan Perdana Menteri mengutamakan ketelusan dalam menjelaskan pembiayaan lawatan rasmi tersebut. Penjelasan bahawa kos RM1.6 juta ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan dan baki tempat duduk ditawarkan kepada syarikat swasta yang menanggung kos sendiri adalah satu langkah baik
“Ia untuk mengelakkan salah faham. Pendekatan berkenaan mencerminkan usaha untuk memastikan kos lawatan rasmi lebih efisien tanpa membebankan kerajaan secara berlebihan,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press, hari ini.

Dalam pada itu, Jais berkata, terdapat juga keperluan semua kos lawatan rasmi, termasuk penglibatan syarikat swasta, diterbitkan dalam laporan tahunan kerajaan atau laman web rasmi.
Jelasnya, langkah tersebut dapat memastikan ketelusan dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap pengurusan kewangan negara.
“Perdana Menteri telah menjelaskan bahawa tiada dana syarikat swasta digunakan untuk membiayai lawatan kerajaan, dan setiap syarikat swasta yang terlibat membayar kos mereka sendiri.
“Walaupun ini mengurangkan risiko konflik kepentingan, MCW menekankan kepentingan untuk memastikan tiada unsur ‘persepsi tidak wajar’ timbul, di mana syarikat swasta dilihat sebagai menerima keistimewaan tertentu kerana penglibatan mereka dalam lawatan rasmi,” katanya.
Mengulas lanjut, Jais memaklumkan, pihaknya mengesyorkan agar kerajaan memperkenalkan satu kerangka polisi yang jelas dan tegas berhubung penglibatan pihak swasta dalam lawatan rasmi.
“Polisi itu harus dipastikan tiada syarikat yang mempunyai rekod konflik kepentingan atau sedang berurusan dengan kerajaan diberikan peluang ini.
“Menetapkan juga garis panduan tentang bagaimana syarikat dipilih untuk menyertai delegasi rasmi selain, mengkehendaki laporan penuh disediakan selepas lawatan, merangkumi sumbangan atau manfaat ekonomi yang diperoleh,” katanya.
Sementara itu, Jais menyeru rakyat Malaysia untuk tidak mudah terperangkap dalam naratif negatif tanpa fakta yang sahih.
“Dalam era media sosial dan penyebaran maklumat palsu, penting untuk rakyat menilai sesuatu isu berdasarkan fakta dan bukti yang kukuh,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab tuduhan pihak pembangkang yang tidak berpuas hati berhubung penajaan sektor swasta dalam siri lawatan rasmi kerajaan ke lima buah negara.
Anwar berkata, syarikat yang membantu membiayai kos perjalanannya adalah mereka yang mempunyai kepentingan perniagaan dan pelaburan di negara ini.
Sehubungan itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menyenaraikan beberapa syarikat yang membiayai kos delegasi rasmi, antaranya Proton, Petronas, Sapura Energy, Top Glove dan syarikat-syarikat semi kondoktor.




