
INANAM – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah akan membuat laporan polis berhubung fitnah yang menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melindungi dan menutup laporan rasuah terhadap Ahli Dewan Udangan Negeri (ADUN) di Sabah.
Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimin berkata kenyataan palsu tersebut dibuat dalam beberapa laman media sosial di TikTok dan Facebook yang berjaya dikenal pasti.
“Dalam kenyataan tersebut pemfitnah turut menyatakan Perdana Menteri melindungi beberapa ADUN yang dikaitkan dengan rasuah dan salah guna kuasa kerana ingin berunding dan meminta kerusi ADUN yang lebih banyak untuk ditandingi Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
“Kenyataan tersebut jelas adalah fitnah yang berniat jahat terhadap Perdana Menteri yang dikenali sebagai penentang rasuah dan salah guna kuasa.
“Kita juga maklum ada pihak yang mendesak Perdana Menteri untuk menekan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera menahan dan menyiasat individu terbabit,” katanya dalam Sidang Media Mingguan PKR Sabah di Pejabat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sabah di sini pada Ahad.
Beliau yakin Perdana Menteri tidak akan campur tangan dalam siasatan ini dan memberi ruang kepada SPRM untuk bergerak bebas menjalankan siasatan.




