
KOTA KINABALU – Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Special Olympics Sabah akan mengadakan saringan kesihatan dan pendidikan percuma kepada atlet Special Olympics iaitu golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dengan ketidakupayaan intelek (ID).
Special Olympics Sabah dalam satu perkongsiaannya berkata, program saringan kesihatan secara percuma ini merangkumi pelbagai bidang seperti terapi carakerja, pergigian, pemakanan, pediatrik, dan pendidikan kesihatan.
“Special Olympics bukan sahaja tentang sukan, tetapi juga bertujuan meningkatkan kualiti hidup individu dengan ketidakupayaan intelek (ID) melalui peluang sukan, kesihatan dan pendidikan.
“Menggalakkan kesaksamaan dan penerimaan dalam masyarakat melalui penglibatan komuniti selain menyediakan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti demi kesejahteraan atlet,” kata kenyataan itu.
Justeru, lebih 100 sukarelawan perubatan akan membantu bersama-sama dengan enam Pengarah Klinikal Special Olympics untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada peserta.
Pemeriksaan kesihatan dan pendidikan percuma itu akan dilaksanakan pada 30 November ini di Dewan Peperiksaan, Blok B, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UMS bermula pukul 7.30 pagi hingga 3.00 petang.

