
HARI ini, Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette A Samad diperintah membela diri terhadap tiga tuduhan rasuah RM2.8 juta membabitkan pelaburan RM150 juta Felcra dalam unit amanah Public Mutual Berhad pada 2015.
Siasatan terhadap Bung Moktar bermula apabila beliau didakwa menerima wang rasuah sebanyak RM2.2 juta daripada ejen Public Mutual di Public Bank Cawangan Taman Melawati, Kuala Lumpur pada 12 Jun 2015 sekitar 12.30 tengahari hingga 5 petang.
Pada 19 Jun 2015 pula, Bung Moktar didakwa menerima wang sebanyak RM262,500 dan kemudian RM337,500 daripada seorang perunding unit amanah sekitar jam 12.26 dan 12.28 tengah hari atas sebab dan di tempat yang sama.
Walau bagaimanapun, Bung Moktar dan isteri mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima suapan wang tunai untuk dirinya manakala Zizie Izette yang merupakan seorang pelakon mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya.
Berikut dikongsikan kronologi kes Bung Moktar dan pasangannya, Zizie Izette:
Siasatan SPRM
3 Mei 2019
- Bung Moktar, didakwa atas tiga pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM2.8 juta sebagai dorongan mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II, untuk Felcra Bhd membuat pelaburan sebanyak RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Bhd ketika memagang jawatan sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra.
- Isteri Bung Moktar, Zizie Izette A. Samad turut dituduh atas tiga pertuduhan dengan nilai kesalahan berjumlah RM2.8 juta kerana bersubahat dengan suaminya.
Pertuduhan dan Perbicaraan
10 Jun 2019
- Pihak pendakwaan telah menyerahkan satu dokumen mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah kepada pasukan pembelaan dan turut memaklumkan bahawa pihaknya akan membuat permohonan supaya kes Bung Moktar dan Zizie Izette dibicarakan bersama dan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
2 Januari 2020
- Perbicaraan dan keterangan saksi pendakwaan bermula dengan seramai 30 orang saksi pendakwaan memberi keterangan.
24 Jun 2021
- Kes yang dijadual didengar di Mahkamah Sesyen ditangguh ke 26 Julai, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
14 Februari 2022
- Pihak pendakwaan memohon untuk menyoal balas seorang saksi utamanya yang dianggap sebagai saksi belot iaitu perunding unit amanah yang merupakan saksi pendakwaan ke-25, Norhaili Ahmad Mokhtar.
24 Jun 2022
- Hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan secara bertulis dan lisan telah siap dikemukakan.
2 September 2022
- Mahkamah memutuskan bahawa terdapat prima facie terhadap kes dan kedua-dua tertuduh diperintahkan membela diri.
21 September 2022
- Pihak pembelaan memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Jenayah 8 di Mahkamah Tinggi Jenayah 7 Kuala Lumpur.
9 Disember 2022
- Pihak pemohon dan responden telah selesai mengemukakan hujahan secara bertulis dan lisan. Yang Arif Mahkamah Tinggi Jenayah 7 Kuala Lumpur memutuskan untuk menolak permohonan pihak pemohon. Oleh itu kedua-dua tertuduh kekal meneruskan pembelaan diri di Mahkamah Sesyen Jenayah 8 Kuala Lumpur. Perbicaraan membela diri akan bermula pada 3 Januari 2023.
- Pada hari yang sama, Bung Moktar memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri atas tiga pertuduhan rasuah.
3 Januari 2023
- Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya untuk menggantung perbicaraan membela diri sementara menunggu rayuan mereka diputuskan di Mahkamah Rayuan.
25 Januari 2023
- Mahkamah Rayuan menetapkan 22 Mac 2023 untuk pengurusan kes rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri atas tiga pertuduhan rasuah.
7 Mac 2023
- Pihak pendakwaan (responden) telah memasukkan Notis Bantahan (PO) terhadap rayuan pihak pembelaan untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen.
22 Mac 2023
- Timbalan Pendaftar menangguh sebutan kes rayuan atas sebab rekod rayuan serta alasan penghakiman masih belum diterima oleh pihak perayu dan responden. Beliau menetapkan tarikh 22 Mei 2023 di mana isu PO oleh responden akan disebut semula selepas rekod rayuan dan alasan penghakiman diterima.
22 Mei 2023
- Mahkamah Rayuan menetapkan 7 Julai ini bagi mendengar bantahan awal pihak pendakwaan terhadap rayuan Bung Moktar Radin dan isterinya, Zizie Izette berhubung keputusan yang memerintahkan mereka membela diri atas tiga pertuduhan rasuah.
7 Julai 2023
- Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin menolak bantahan awal dan memerintahkan permohonan semakan pasangan itu dikembalikan semula ke Mahkamah Tinggi untuk mempertimbangkan merit permohonan semakan itu.
14 Julai 2023
- Pengurusan kes di Mahkamah Tinggi.
4 Ogos 2023
- Penfailan hujahan bertulis pihak pendakwaan dan pembelaan secara serentak
18 Ogos 2023
- Untuk pemfailan hujahan balas pendakwaan dan pembelaan berkenaan semakan keputusan untuk Bung dan Zizie membela diri atas tiga pertuduhan rasuah.
7 September 2023
- Pendengaran kes semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi. Mahkamah Tinggi membuat keputusan untuk melepas dan membebaskan Bung Moktar Radin dan isterinya, Zizie Izette daripada tiga tuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta membabitkan pelaburan RM150 juta.
15 September 2023
- Pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Bung Moktar Radin dan Zizie Izette atas tiga tuduhan rasuah RM2.8 juta membabitkan pelaburan Felcra bernilai RM150 juta.
14 Disember 2023
- Mahkamah Rayuan tetapkan 29 Disember 2023 untuk pengurusan kes berhubung pembebasan Bung Moktar dan isterinya Zizie Izette.
8 Mei 2024
- Pendakwaan kemukakan tujuh alasan dalam petisyen rayuan yang difailkan pada 3 Mei 2024.
29 Julai 2024
- Pendengaran rayuan pendakwaan terhadap Bung Moktar dan isterinya Zizie Izette yang dijadualkan hari berkenaan (29 Julai) ditangguhkan 9 Oktober lepas.
9 Oktober 2024
- Mahkamah Rayuan tetapkan 18 November untuk keputusan rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Bung Moktar dan isteri beliau, selepas mahkamah selesai mendengar hujahan kedua-dua pihak.
18 November 2024
- Pasangan suami isteri itu diperintahkan membela diri oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya, atas tiga pertuduhan rasuah itu.
Sumber laman sesawang SPRM: https://www.sprm.gov.my/index.php?id=21&page_id=103&contentid=2872&cat=TOC


