
PUTRAJAYA – Cadangan menaikkan harga makanan bermula lima peratus oleh pengusaha restoran India Muslim di Johor, mulai tahun hadapan perlu diteliti semula secara holistik dan terperinci.
Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, cadangan itu dikhuatiri mempengaruhi daya saing pengusaha restoran , selain memberi beban tambahan kepada pengguna, khususnya golongan berpendapatan rendah.
Menurutnya, pihaknya memahami beban yang ditanggung oleh pengusaha restoran, terutama disebabkan peningkatan kos bahan mentah dan pelaksanaan gaji minimum RM1,700 pada Februari 2024.
“Sebagai badan yang berfungsi untuk melindungi kepentingan pengusaha dan pengguna, Presma ngin menekankan pentingnya mempertimbangkan kesan kenaikan harga terhadap pelanggan.
“Kami mencadangkan laksana kerjasama bersama kerajaan dengan berdialog bersama mereka bagi mempertimbangkan bantuan subsidi atau sokongan kewangan untuk kos bahan mentah dan operasi,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press, hari ini.

Mengulas lanjut, Jawahar berkata, pihaknya bersedia menjadi perantara bagi mengadakan perbincangan dengan pihak berwajib untuk mencari solusi yang seimbang serta adil untuk semua pihak.
“Kami menggalakkan pengusaha restoran mencari kaedah pengurusan kos lebih efisien untuk mengekalkan harga tanpa membebankan pengguna.
“Presma akan terus berusaha melindungi kepentingan pengusaha dan pengguna agar keseimbangan antara kelangsungan perniagaan dan kemampuan pengguna dapat dikekalkan,” katanya.
Semalam, Setiausaha Persatuan Usahawan India Muslim Negeri Johor, Hussien Ibrahim dilaporkan berkata, kenaikan itu susulan peningkatan kos operasi disebabkan kenaikan berterusan harga bahan mentah.
Jelasnya, peningkatan kos operasi juga berlaku susulan pelaksanaan gaji minimum RM1,700 mulai Februari depan.
Kata Hussien, kira-kira 300 pengusaha restoran India Muslim atau mamak di Johor mengadu kos operasi mereka terus meningkat tinggi dan dijangka pelaksanaan gaji minimum mulai tahun hadapan, akan melonjakkan lagi kos operasi.
Minggu lalu, Presiden Persatuan Pemilik Restoran India Malaysia (PRIM), Datuk J Govindasamy memaklumkan, kadar gaji minimum baharu diumumkan kerajaan akan menyebabkan kenaikan harga makanan antara 20 sehingga 30 peratus.
Beliau dilaporkan berkata, peningkatan dalam kos operasi turut berlaku ketika pelaksanaan gaji minimum RM1,500, pada Mei 2022 lalu.
Pada 18 Oktober lalu, kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum kepada RM1,700 sebulan daripada RM1,500, yang akan berkuat kuasa mulai 1 Februari tahun depan.




