DATUK Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa simpati terhadap rakyat Sepanyol yang berdepan tragedi kehilangan ratusan nyawa dan kemusnahan teruk di Valencia akibat banjir besar pada minggu lalu.
Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebooknya berkata, Malaysia sentiasa bersama rakyat Sepanyol mendepani masa yang amat sukar ketika ini.
“Kita mendoakan keselamatan dan kesejahteraan mereka dengan harapan situasi di negara itu akan menjadi lebih baik pada masa depan,” katanya.
Semalam, Kementerian Luar mengesahkan tiada rakyat Malaysia terjejas secara langsung akibat banjir yang melanda Valencia dan kawasan sekitarnya di Sepanyol sejak 29 Oktober lalu.
Lebih 200 orang dilaporkan terkorban akibat banjir yang melanda Valencia dan kawasan sekitarnya di Sepanyol sejak 29 Oktober lalu.
Ia disifatkan sebagai bencana paling teruk pernah berlaku yang menyebabkan kerosakan harta benda besar dan memerlukan usaha pemulihan yang panjang.
Pihak berkuasa Sepanyol kini giat menjalankan operasi menyelamat dan memberi bantuan kepada mangsa-mangsa yang terjejas.








