
PENAMPANG – Seorang lelaki dan wanita warga tempatan berusia 20-an ditahan pihak polis kerana memiliki dadah jenis syabu bernilai RM16,000 mengikut harga pasaran, di sini, pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, sebanyak 501.29 gram dadah jenis Methamphetamine berjaya dirampas.
“Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua suspek, 10 peket plastik lutsinar berisi ketulan-ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu ditemui dalam simpanan suspek.
“Setelah dilakukan ujian saringan awal air kencing, kedua-dua suspek turut didapati positif dadah jenis syabu dan Amphethamine.
“Berdasarkan tangkapan berkenaan suspek kini direman dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah, jika tidak dihukum mati, disebat tidak kurang 15 sebatan, jika disabitkan kesalahan dan kes juga turut disiasat di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan kepada masyarakat agar tidak terjebak dengan penyalahgunaan dadah dan terus membantu polis untuk memerhati dan menyalurkan maklumat bagi membanteras gejala dadah.




