Ekonomi negara diramal berkembang kukuh suku kedua tahun ini

PUTRAJAYA – Ekonomi Malaysia diramal berkembang 5.8 peratus pada suku tahun kedua 2024, meningkat dari 4.2 peratus pada suku tahun sebelumnya, demikian menurut jangkaan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Bagi separuh pertama tahun ini, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat 5.0 peratus berbanding 4.1 peratus bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Ia sekali gus seiring dengan unjuran Bank Negara Malaysia (BNM) sebanyak 4.0 hingga 5.0 peratus.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan suku kedua 2024 itu juga adalah yang tertinggi sejak suku keempat 2022 pada 7.4 peratus.

“Ekonomi Malaysia dijangka mengekalkan momentum pertumbuhannya, disokong faktor domestik dan eksport dengan prospek positif untuk baki tempoh tahun ini.

“Peningkatan perbelanjaan penggunaan isi rumah dirangsang oleh musim perayaan dan cuti sekolah serta pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 pada April lalu.

“Sejumlah RM6.98 bilion dikeluarkan dari Akaun 3 (Akaun Fleksibel) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) setakat Jun 2024 untuk menyokong keperluan kewangan jangka pendek,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Mohd Uzir berkata, anggaran pertumbuhan dicatatkan pada suku kedua adalah sejajar dengan indikator terkini seperti Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) yang masing-masing meningkat 6.1 peratus dan 2.4 peratus pada April dan Mei 2024 berbanding tahun sebelumnya.

Sementara itu, beliau berkata, nilai jualan borong dan runcit meningkat 6.6 peratus pada April dan 7.1 peratus pada Mei berdasarkan asas tahun ke tahun.

Bagi sektor luaran pula, jumlah perdagangan – eksport dan import – mengalami peningkatan berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

“Faktor lain termasuk peningkatan ketibaan pelancong serta pengeluaran kelapa sawit dan kemajuan pembangunan projek mega,” katanya.

Mohd Uzir menambah, prestasi ekonomi pada suku tahun kedua dipacu oleh sektor perkhidmatan, dengan hampir semua sektor utama menunjukkan pertumbuhan yang lebih baik berbanding suku tahun sebelumnya.

Katanya, sektor perkhidmatan terus meningkat kepada 5.6 peratus berbanding 4.7 peratus pada suku pertama 2024, disokong subsektor perdagangan borong dan runcit, pengangkutan dan penyimpanan serta kewangan dan insurans.

Katanya, sektor pembuatan meningkat 4.7 peratus dari 1.9 peratus pada suku tahun sebelumnya, disokong pertumbuhan semua subsektor, terutamanya produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka dan produk petroleum, kimia, getah dan plastik.

“Di samping itu, sektor pembinaan kekal dengan pertumbuhan dua angka, 17.2 peratus didorong prestasi kukuh dalam semua subsektor, terutama kejuruteraan awam dan aktiviti pembinaan pertukangan khas.

“Sektor pertanian juga meningkat 7.1 peratus pada suku tahun ini, disumbangkan pertumbuhan memberangsangkan dalam subsektor kelapa sawit.

“Sementara itu, sektor perlombongan dan pengkuarian bertumbuh perlahan kepada 3.3 peratus berbanding 5.7 peratus pada suku tahun sebelumnya, disebabkan subsektor gas asli yang menyederhana,” katanya.

Related Posts

Bantuan MADANI bukan sekadar subsidi, ia pemangkin inovasi dan kelestarian pertanian – Dr Norhelmi

KUCHING – Pengumuman Kerajaan MADANI berhubung penyaluran bantuan tambahan yang dijadualkan bermula 21 April 2026 nyata memberi nafas baharu kepada ratusan ribu penggiat sektor pertanian negara. Lebih daripada sekadar angka,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Keterjaminan makanan: Belajar dari krisis, sedia dari dapur sendiri

KUCHING – Setiap kali harga barang keperluan asas naik, keluhan pasti kedengaran di pelbagai platform.  Namun, sedarkah kita bahawa isu keterjaminan makanan sebenarnya adalah bom jangka ‘senyap’ yang menuntut persiapan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Exco akui kelemahan semakan jersi

Exco akui kelemahan semakan jersi

Kes panggilan palsu bebankan sumber negara

Kes panggilan palsu bebankan sumber negara

Kekal harga diesel: Rakyat Sarawak rai inisiatif, zahir penghargaan buat Kerajaan MADANI

Kekal harga diesel: Rakyat Sarawak rai inisiatif, zahir penghargaan buat Kerajaan MADANI

Pegawai ladang didenda RM48,000, miliki bangkai haiwan dilindungi

Pegawai ladang didenda RM48,000, miliki bangkai haiwan dilindungi

‘Folder’ cecah ribuan muka surat, bukti digital kes Zara dibentang di mahkamah

‘Folder’ cecah ribuan muka surat, bukti digital kes Zara dibentang di mahkamah

Tiga Penyelaras DUN lapor polis dakwaan fitnah Pemuda Pas Pahang

Tiga Penyelaras DUN lapor polis dakwaan fitnah Pemuda Pas Pahang