
MUKAH – Sistem Pesanan Kecemasan (EMS) mula dilaksanakan secara rasmi hari ini bagi membolehkan amaran kecemasan disampaikan terus ke telefon mudah alih orang ramai ketika berlaku bencana atau situasi yang mengancam keselamatan awam.
Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Cawangan Bintulu, Shaiful Sandi berkata pelaksanaan sistem berkenaan bertujuan memastikan rakyat menerima maklumat penting tepat pada masanya supaya tindakan susulan dapat diambil dengan lebih cepat dan berkesan.
“Melalui sistem ini, amaran kecemasan dapat disampaikan dengan pantas terus ke telefon mudah alih orang ramai bagi membantu meningkatkan keselamatan dan kesiapsiagaan masyarakat,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat 2026 Daerah Mukah di Dewan Serbaguna Kampung Tellian Tengah pada Ahad.
Dalam pada itu, Shaiful mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap peningkatan ancaman jenayah siber termasuk penipuan dalam talian, buli siber, penyebaran berita palsu serta kebocoran data peribadi.

Menurutnya, perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) kini mewujudkan cabaran baharu apabila imej, video dan rakaman suara boleh dimanipulasi sehingga kelihatan seolah-olah tulen.
“Undang-undang dan peraturan sahaja tidak mencukupi tanpa penglibatan keluarga dan masyarakat. Apabila ibu bapa, anak-anak dan seluruh komuniti mempunyai kemahiran mengenal pasti risiko dalam talian, kita membantu membina persekitaran digital yang lebih selamat,” ujarnya.
Tambah beliau, bagi memperkasa literasi digital di peringkat akar umbi, MCMC menyediakan sebanyak 156 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh Sarawak selain melaksanakan Kempen Internet Selamat di 1,476 sekolah dan institusi pendidikan di negeri ini.



