
KOTA KINABALU – Kesetiaan seorang kakak menemani adiknya sejak di bangku sekolah menengah hingga menamatkan pengajian di Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjadi antara kekuatan Muhammad Iman Izzuddin Jamaludin, 25, dalam mengejar kejayaan meskipun berdepan kekangan penglihatan.
Iman yang mengalami masalah penglihatan sejak berusia tujuh bulan akibat demam panas berjaya menggenggam ijazah dalam bidang Sains Sosial (Hubungan Industri) pada Majlis Konvokesyen UMS Ke-28 di Dewan Canselor, di sini, Ahad.
Kakaknya, Saidatul Afiqah Jamaludin, 29, berkata, usaha membantu pembelajaran adiknya bermula sejak Iman berada di Tingkatan Lima, terutama ketika pandemik COVID-19 apabila beliau banyak membantu mendapatkan maklumat bagi memastikan adiknya dapat mengikuti pembelajaran.
Menurutnya, sokongan itu diteruskan sepanjang empat tahun pengajian Iman di UMS, termasuk menemaninya menghadiri kuliah serta membantu mendapatkan bahan pembelajaran yang bersesuaian dengan keperluannya.
“Memang saya yang hantar dia pergi kelas dan temankan dalam bilik kuliah.
“Sebelum mana-mana kuliah bermula, saya akan maklumkan kepada semua pensyarah bahawa saya akan bersama Iman dalam kelas,” katanya ketika ditemui media selepas majlis berkenaan.
Katanya, antara cabaran utama ialah mendapatkan bahan pembelajaran dalam format Braille kerana tidak semua nota dan bahan rujukan tersedia dalam format berkenaan.
Justeru, beliau membantu mencari maklumat dan menyesuaikan bahan pembelajaran supaya dapat diakses Iman menggunakan komputer riba.
Bagaimanapun, usaha itu turut berdepan cabaran apabila mesin e-Braille yang digunakan Iman untuk membaca nota terjatuh dari kerusi kuliah sehingga menyebabkan adiknya tidak dapat menaip selama kira-kira sebulan.
Sepanjang tempoh itu, beliau turut membantu mendapatkan nota pembelajaran bagi memastikan Iman tidak ketinggalan dalam pengajian.
Sementara itu, Iman berkata, cabaran utamanya sepanjang mengikuti pengajian ialah memahami penyampaian pensyarah serta mendapatkan bahan pembelajaran yang sesuai dengan keterbatasan penglihatannya.
“Lebih banyak bergantung kepada komputer riba untuk memuat turun artikel dan mendengar rakaman pembelajaran.
“Selain itu, membuat ulang kaji bagi memahami kandungan kuliah serta menyiapkan tugasan,” katanya.
Iman yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik itu turut menerima Bantuan Kewangan Orang Kurang Upaya (BKOKU) daripada Kerajaan Persekutuan bagi membantu membiayai pengajiannya.
Mengulas kejayaan menamatkan pengajian, beliau berkata, perasaan terharu dan gembira menyelubunginya selepas melalui pelbagai cabaran sepanjang berada di universiti.
Beliau berharap pencapaiannya dapat menjadi inspirasi kepada golongan orang kurang upaya (OKU), khususnya mereka yang mempunyai masalah penglihatan, agar tidak menjadikan kekurangan diri sebagai penghalang untuk melanjutkan pelajaran.
Selepas menamatkan pengajian, Iman berhasrat mendalami ilmu agama, khususnya pengajian al-Quran, tilawah dan tarannum, selain tidak menolak kemungkinan menyambung pengajian pada masa akan datang.



