
KUCHING – Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Mahmud Epah mengesahkan bahawa Bruce Yee telah melepaskan jawatan sebagai Ketua Cabang PKR Sarikei sebelum hari penamaan calon bagi menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 sebagai calon Bebas.
Penjelasan itu sekali gus merungkai status bekas pemimpin cabang berkenaan yang tampil bertanding menggunakan simbol kerusi bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.47 Pakan pada proses penamaan calon semalam.
“Ketua Cabang Sarikei sudah meletakkan jawatan sebelum hari penamaan calon,” katanya bagi menjelaskan kedudukan Bruce atau nama penuhnya Bruce Yee @ Yee Chin Kui.
Kenyataan Mahmud itu menyusul ketetapan rasmi PKR Sarawak sebelum ini untuk tidak meletakkan calon pada PRN kali ini demi menghormati semangat kerjasama dan muafakat politik bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam kerajaan Perpaduan.
Selaras pendirian berkenaan, parti itu turut mengeluarkan arahan agar seluruh barisan pimpinan dan jentera di setiap peringkat akur terhadap keputusan tersebut serta memelihara hubungan baik dengan rakan gabungan Kerajaan Perpaduan, khususnya GPS.
Di DUN N.47 Pakan, Pegawai Pengurus Pilihan Raya yang juga Pegawai Daerah Pakan, Mohd Irwan Abdullah @ William Manggoi mengesahkan pertandingan tiga penjuru membabitkan Bruce di kedudukan nombor satu pada kertas undi menentang penyandang kerusi daripada GPS, Tan Sri William Mawan Ikom serta seorang lagi calon Bebas, Tedong Chakaw selepas proses penamaan calon di Dewan Serbaguna Pejabat Daerah Pakan selesai semalam.
Berdasarkan perangkaan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), DUN Pakan tersenarai antara 15 kawasan yang menyaksikan saingan tiga penjuru, manakala Bruce dan Tedong adalah sebahagian daripada keseluruhan 22 calon Bebas yang disahkan layak bertanding menjelang hari pengundian pada 12 Disember ini.
Kerusi luar bandar yang mempunyai seramai 15,022 pemilih berdaftar itu sebelum ini dipertahankan William Mawan daripada komponen Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada PRN Sarawak ke-12 dengan majoriti 714 undi selepas meraih 3,268 undi.

Sementara itu, Bruce menerusi kenyataan media berasingan menjelaskan langkah menawarkan diri atas tiket Bebas didorong hasrat membuka ruang suara lebih luas kepada penduduk Pakan untuk mengetengahkan aspirasi, keresahan serta keperluan masa depan kawasan berkenaan.
Mengaitkan pencalonannya dengan susur galur kekeluargaan Cina-Iban melalui sebelah neneknya yang menetap lebih 10 dekad di Menua Sungai Rusa, beliau menyifatkan komuniti setempat khususnya masyarakat Dayak masih berdepan cabaran kemudahan asas, pembangunan, ekonomi, kebajikan dan isu tanah adat.
“Bagi saya, pembangunan tidak seharusnya hanya diukur melalui angka peruntukan atau jumlah projek yang diumumkan, tetapi perlu dinilai berdasarkan sejauh mana rakyat benar-benar menikmati kemudahan dan perubahan dalam kehidupan seharian mereka,” katanya.
Menerusi sembilan teras yang digariskan dalam kenyataan itu, beliau memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur luar bandar yang seimbang, penyediaan bekalan air bersih, elektrik dan liputan telekomunikasi stabil, perlindungan hak tanah adat Bumiputera (NCR), akses pendidikan dan kesihatan serta penjanaan peluang pekerjaan dan keusahawanan tempatan.
Beliau turut menekankan hak komuniti memilih Tuai Rumah dan Ketua Kampung mengikut adat serta kehendak penduduk tanpa campur tangan politik tidak wajar, selain mencadangkan reformasi institusi Mahkamah Bumiputera Sarawak dari sudut ketelusan dan kecekapan pengurusan.
Dalam pada itu, biarpun bertanding tanpa tiket parti, Bruce menyatakan sokongan terhadap agenda pembangunan kerajaan MADANI termasuk pelaksanaan hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), di samping berharap proses demokrasi di Pakan berlangsung secara aman dan matang tanpa menjadikan perbezaan kaum, agama atau fahaman politik sebagai halangan pembangunan.



