
KOTA KINABALU – Impian seorang graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Rozalina Ng Sin Su untuk menghadiahkan sepasang kasut baharu kepada datuknya sempena majlis konvokesyen tidak kesampaian apabila insan tersayang itu terlebih dahulu meninggal dunia.
Lebih menyentuh hati, Rozalina yang juga anak yatim piatu dan tunggal itu berjaya menamatkan pengajian dengan memperoleh ijazah kelas satu yang merupakan pencapaian tertinggi ingin dikongsikan bersama datuknya.
Menurutnya, kasut itu bukan sekadar hadiah, sebaliknya janji yang pernah dibuat kepada arwah datuknya, Amid Omar yang sangat berharap dapat menghadiri majlis konvokesyen cucunya dengan pakaian dan kasut yang sesuai.
Namun, hasrat itu tidak kesampaian apabila datuknya meninggal dunia pada 29 Mac tahun lalu, ketika Rozalina masih berada di semester empat pengajian dan berbaki dua semester sebelum menamatkan pengajian.
Mengimbas kembali kenangan itu, graduan bidang Hubungan Industri berkenaan berkata, semasa hayatnya, datuknya sering berasa rendah diri untuk menghadiri majlis penting berkaitan pencapaian akademik Rozalina kerana tidak mempunyai pakaian dan kasut yang sesuai.
“Arwah datuk selalu risau dan tidak pernah hadir semasa saya mengambil keputusan peperiksaan mahupun menghadiri konvokesyen Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebab dia tiada kasut yang sesuai untuk dipakai.
“Saya berjanji kepadanya untuk membelikan sepasang kasut, tetapi saya tidak sempat sebab dia sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui wartawan The Malaysia Press pada Majlis Konvokesyen UMS.
Bagi Rozalina, kehilangan itu membawa makna yang jauh lebih besar kerana Amid merupakan satu-satunya tempat dia bergantung selepas kehilangan kedua-dua ibu bapanya ketika berumur 10 tahun.
“Saya kehilangan ibu ketika berusia sembilan tahun sebelum bapa meninggal dunia setahun kemudian.
“Sejak itu, atuk mengambil tanggungjawab membesarkan saya, memberikan kasih sayang serta memenuhi keperluan hidup meskipun menjalani kehidupan sederhana,” ujarnya.
Ketika ditanya mengenai perkara yang terlintas di fikirannya sewaktu menerima skrol, Rozalina berkata, dia terlalu gembira dan mengenang datuknya sehingga tidak mampu memikirkan perkara lain pada saat itu.
Bagi Rozalina, ijazah itu bukan sekadar pengiktirafan akademik, sebaliknya lambang pengorbanan datuknya yang membesar dalam serba kekurangan dan kasih sayang yang tidak pernah terputus.
“Terima kasih sebab selama ini jaga saya. Hari ini bukan kejayaan saya seorang, tetapi kejayaan bersama atuk ,” tambahnya.
Kongsinya, walaupun bukan pelajar cemerlang sejak awal persekolahan, pengorbanan arwah menjadi pendorong kepada Rozalina untuk mengubah kehidupan melalui pendidikan.
“Pemergian insan yang menjadi sumber kekuatan saya ketika berbaki dua semester sebelum tamat pengajian hampir mematahkan semangat saya.
“Saya mengambil masa hampir dua bulan untuk mengatasi kesedihan sebelum kembali menguatkan diri bagi meneruskan pengajian yang saya impikan bersama arwah atuk,” jelasnya.
Sepanjang pengajian, dia turut melakukan pekerjaan sambilan bagi menampung keperluan diri selain menerima bantuan daripada orang lain ketika berdepan kesukaran.
Perjalanan akademiknya bermula di Sekolah Kebangsaan St Peter Kudat sebelum meneruskan persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Peter Kudat dan SMK Abdul Rahim bagi pengajian Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Kesungguhannya akhirnya membolehkan dia melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah di UMS.



