
SEPANG – Malaysia terbuka menerima permohonan negara-negara peserta bagi menambah acara sukan yang dipertandingkan pada temasya Sukan SEA 2027, namun sebarang keputusan perlu mengikut proses ditetapkan Persekutuan Sukan SEA (SEAGF).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan pada dasarnya menyokong cadangan berkenaan dan tidak mahu menghalang usaha negara peserta mengetengahkan lebih banyak jenis sukan pada temasya dwitahunan itu.
“Kita sokong (permohonan) penambahan itu, kita tidak harus menghalang dan ada beberapa jenis sukan yang mahu ditonjolkan di Thailand atau Filipina atau Indonesia, Singapura, Malaysia, kita beri galakan.
“Bagaimanapun, semua permohonan itu kita perlu teliti dan ikuti proses mengikut SEAGF, namun secara asasnya (kita) sokong (permohonan) penambahan itu, kita tidak harus menghalang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Kebangsaan 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), di sini, hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Dalam perkembangan sama, Anwar berkata pembudayaan sukan bukan sahaja penting untuk menjamin kesihatan fizikal dan mental, malah berperanan membentuk disiplin, kekuatan moral serta keperibadian masyarakat.
Beliau yang pernah menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Belia dan Sukan berkata, usaha memajukan industri sukan negara sentiasa menjadi antara perkara yang diberikan perhatian.
“Kita harus merangkul segenap kekuatan rakyat untuk bersama-sama menjayakannya, khususnya anak muda pelbagai kaum yang harus kita satukan dalam semangat kebersamaan sebagai satu kekuatan anak Malaysia.
“Seiring dengan aspirasi ini, saya turut meluncurkan Pelan Industri Sukan Negara bagi memperkukuh ekosistem sukan yang lebih dinamik dan berdaya saing, sekali gus mengangkat industri sukan sebagai antara pemacu pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.
Pada majlis sama, Anwar turut melancarkan Pelan Industri Sukan Negara sebagai langkah memperkukuh ekosistem sukan yang lebih dinamik dan berdaya saing.
Pelan berkenaan diharap dapat mengangkat industri sukan sebagai antara pemacu pertumbuhan ekonomi negara, selain membuka lebih banyak ruang pembangunan kepada bakat dan penggiat sukan tempatan.



