
KUCHING – Parti Wawasan Rakyat (WAWASAN) memutuskan untuk tidak menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 pada 12 Disember ini bagi mengutamakan kestabilan politik, perpaduan, pembangunan serta kepentingan rakyat negeri berkenaan.
Presidennya, Affendi Jeman berkata, ketetapan strategik itu bukan bermaksud berundur daripada perjuangan politik, sebaliknya diambil bagi memberi tumpuan kepada persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Menerusi kenyataan media pada Jumaat, beliau menegaskan WAWASAN menyokong kepimpinan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg termasuk sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) N.26 Gedong, selain menghormati semua calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diberi mandat bertanding.
“Sebagai parti tempatan berjiwa nasional serta sahabat kepada Barisan Nasional (BN), WAWASAN sependapat dengan pendirian parti dalam Kerajaan Perpaduan yang tidak menyertai PRN Sarawak sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian pentadbiran GPS memacu pembangunan negeri,” katanya.
Beliau turut berpandangan kestabilan politik serta kerjasama erat antara kerajaan Negeri dengan kerajaan Persekutuan amat diperlukan bagi mendepani ketidaktentuan ekonomi global dan tekanan peningkatan kos sara hidup rakyat.
Dalam pada itu, Affendi memaklumkan walaupun WAWASAN baru berusia kurang daripada enam bulan, parti tersebut telah menerima permohonan daripada calon berkelayakan, berpengalaman dan profesional untuk bertanding di hampir separuh daripada keseluruhan kerusi DUN Sarawak.
“Namun demikian, WAWASAN memilih untuk tidak bertanding dalam PRN13 demi memberi ruang kepada kestabilan politik dan menghormati landskap politik Sarawak sedia ada,” katanya.
Mengulas mengenai penyertaan pengundi, beliau merujuk rekod PRN Sarawak ke-12 yang mencatatkan hanya 60.67 peratus daripada 1,252,014 pengundi berdaftar keluar mengundi, dengan GPS memenangi 76 daripada 82 kerusi menerusi 457,233 undi atau kira-kira 36.5 peratus daripada jumlah keseluruhan pemilih berdaftar.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh rakyat Sarawak supaya keluar menunaikan tanggungjawab demokrasi pada 12 Disember ini dan berharap kadar keluar mengundi meningkat dengan ketara pada pilihan raya kali ini.
“Sebaliknya, WAWASAN akan menggunakan tempoh ini untuk memperkukuhkan organisasi, struktur parti dan akar umbi, serta membuat persediaan menghadapi GE16 dengan matlamat yang lebih besar untuk menyumbang kepada pembentukan sebuah kerajaan Persekutuan yang stabil dan berkesan,” katanya.
Beliau turut berharap parti dalam Gagasan Perpaduan terus diberi mandat oleh rakyat bagi membentuk kerajaan yang mengutamakan pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan, perumahan mampu milik, peningkatan pendapatan serta pembangunan sektor ekonomi mampan.



