
KUANTAN – Belanjawan Pahang 2027 yang diluluskan sebulat suara pada persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini, disifatkan menepati tuntutan Islam.
Ia disifatkan demikian apabila mengutamakan perbelanjaan berhemah, tidak boros dan tidak pula terlalu berjimat sehingga mengabaikan keperluan rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Lantikan) Pahang, Datuk Ahmad Irshadi Abdullah berkata, pendekatan itu selari dengan Surah al-Furqan ayat 67 yang menekankan keseimbangan dalam perbelanjaan.
“Dalam penggulungan, YAB Menteri Besar ada sebut, kita berbelanja tidak boros, dan tidak sampai kedekut tidak berbelanja. Ini amat tepat dengan al-Quran,” katanya.
Beliau berkata, prinsip kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang melaksanakan sesuatu perkara terlebih dahulu sebelum menghebahkan turut mencerminkan ajaran Islam.
“Tak banyak cakap. Tidak ada serban jubah. Tetapi perbuatan Datuk Seri Diraja mencerminkan beliau seorang pemimpin Islam,” katanya.
Pengasas Maahad Tahfiz Tengku Ampuan Afzan Pekan itu berkata, Belanjawan Pahang 2027 memperlihatkan pengurusan kewangan berhemah apabila kerajaan memperuntukkan simpanan RM5 juta daripada anggaran hasil negeri RM1.507 bilion.
“Ini sebagaimana dilakukan Nabi Yusuf AS dalam al-Quran, apabila baginda merancang penyimpanan hasil selama tujuh tahun bagi menghadapi tempoh kemarau,” ujarnya.
Beliau turut menyifatkan cetusan idea Menteri Besar menyediakan makanan setiap Jumaat (Juadah Makmur) serta pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat sebagai contoh pelaksanaan tuntutan Islam dalam kehidupan bermasyarakat.
Dalam pada itu, beliau menolak persepsi negatif terhadap kepimpinan Wan Rosdy dan menggesa pihak yang melemparkan tuduhan supaya kembali kepada ajaran Islam.
“Kalau boleh, bertaubatlah, kembali kepada Islam dan minta maaf dengan Menteri Besar. Mari kita duduk sekapal,” katanya.


