
PUTRAJAYA – Tindakan undang-undang Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terhadap Google LLC berhubung kandungan memudaratkan di YouTube tidak akan menjejaskan pelaburan syarikat teknologi itu bernilai AS$15 bilion (kira-kira RM61.1 bilion) di Malaysia.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, tindakan berkenaan adalah isu berasingan yang membabitkan pematuhan terhadap kerangka kawal selia negara dan tidak mempunyai kaitan dengan pelaburan syarikat itu.
Katanya, kerajaan mempunyai pendirian jelas bahawa rakyat Malaysia tidak seharusnya terdedah kepada kandungan memudaratkan seperti yang diperuntukkan dalam Akta Keselamatan Dalam Talian 2025.
“Ia adalah dua perkara yang berbeza kerana dari segi kawal selia, kita mempunyai satu pandangan yang mana rakyat Malaysia tidak harus didedahkan kepada kandungan memudaratkan seperti yang termaktub dalam Akta Keselamatan Dalam Talian,” katanya pada sidang media mingguan di sini, hari ini.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata demikian ketika ditanya sama ada tindakan undang-undang MCMC terhadap Google akan menjejaskan pelaburan syarikat itu di Malaysia.
Mengulas lanjut, beliau berkata, MCMC akan merujuk Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 serta Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian bagi menentukan takrifan kandungan memudaratkan.
“Ia adalah perbincangan beraspek kawal selia, tidak berkait dengan isu pelaburan,” katanya sambil berharap pihak berkaitan dapat memberikan kerjasama dalam menangani isu berkenaan.
Rabu lalu, MCMC memulakan dua tindakan undang-undang terhadap Google LLC dengan tuntutan ganti rugi keseluruhan RM600 juta berhubung dakwaan kegagalan syarikat itu mengambil tindakan sewajarnya terhadap kandungan memudaratkan di YouTube.
Menurut MCMC, kedua-dua saman itu membabitkan perkara berbeza, termasuk dakwaan kegagalan Google mematuhi kewajipan di bawah undang-undang serta syarat lesen yang terpakai.
Pada 4 November lalu, Google mengumumkan pelaburan AS$15 bilion di Malaysia bagi tempoh dua tahun bermula 2027 hingga 2028, termasuk pembangunan kampus pusat data baharu di Selangor dan Negeri Sembilan.
Pelaburan itu dijangka menyumbang purata AS$1.1 bilion setiap tahun kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sepanjang fasa pembinaan, selain menyokong lebih 37,000 peluang pekerjaan tempatan setiap tahun.
Perluasan infrastruktur digital itu menyusul operasi kampus pusat data pertama Google di Elmina Business Park, Selangor, yang kini beroperasi sepenuhnya.


![[TB]_Anwar Ibrahim Min Aung Hlaing 3_BERNAMA](https://themalaysiapress.com/wp-content/uploads/2026/11/TB_Anwar-Ibrahim-Min-Aung-Hlaing-3_BERNAMA-768x432.jpg)