TITAH Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, supaya barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) memahami batas tugas serta tidak melampaui bidang kuasa masing-masing mencerminkan kepentingan menghormati prinsip Raja Berperlembagaan dalam pentadbiran negeri.
Pakar undang-undang, Profesor Emeritus Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata, kemelut politik yang melanda Negeri Sembilan membuktikan kuasa prerogatif Raja dalam memilih Menteri Besar wajib dihormati semua pihak, selain setiap keputusan hendaklah berpandukan peruntukan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan (UTKNS) dan Perlembagaan Persekutuan.
“Hari ini menunjukkan Raja Berperlembagaan mempunyai kuasa untuk tidak menerima peletakan jawatan Menteri Besar, tetapi menitahkan Menteri Besar meneruskan tugas dan melantik Exco baharu. Siapa yang berani mencabar kuasa prerogatif Tuanku itu?
“Kita bersyukur UMNO dan Barisan Nasional (BN) masih menghormati kuasa Tuanku dan menyetujui pilihan Tuanku dari mula,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) hari ini.
Beliau berkata, Tuanku Muhriz yang memiliki latar belakang perundangan serta pengalaman luas sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dengan bijaksana membuat keputusan sejak BN memenangi PRN Ogos lalu.

Katanya, UTKNS ialah undang-undang utama yang menggariskan hubungan antara institusi Raja, Undang dan Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Dewan Keadilan dan Undang berperanan sebagai autoriti tertinggi dalam perkara berkaitan adat dan hubungan antara Yang di-Pertuan Besar dengan Undang yang empat.
“Semua pihak perlu akur kepada peruntukan terbabit dan tidak membuat tafsiran sewenang-wenangnya,” katanya.
Noor Aziah menjelaskan, selagi memegang tampuk sebagai Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz mempunyai kuasa prerogatif yang luas dalam perkara pentadbiran dengan berunding dengan Undang yang empat.
Katanya, dalam perkembangan terbaharu, Tuanku Muhriz sudah mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim bersama tiga Undang yang sah sebelum memperkenankan Ismail meneruskan tugasnya.
“Dalam keadaan ada empat Undang, tiga memadai,” katanya.
Terdahulu, Tuanku Muhriz ketika Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Exco Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti, hari ini, mengingatkan barisan Exco baharu supaya menjadikan segala peristiwa dan isu yang tercetus sebelum ini sebagai pengajaran.
Baginda bertitah, setiap Exco perlu memahami batas tugas dan bidang kuasa masing-masing, selain memberikan sepenuh tumpuan kepada portfolio diamanahkan serta melaksanakan tanggungjawab dengan penuh komitmen dan kebijaksanaan.
“Beta tidak mahu perkara yang sama berulang sehingga boleh menjejaskan keharmonian, kestabilan dan kelancaran pentadbiran kerajaan negeri,” titah baginda.
Tuanku Muhriz turut menegaskan kepentingan mengutamakan rakyat, melaksanakan amanah dengan penuh integriti dan profesionalisme serta memastikan setiap keputusan dibuat berlandaskan kepentingan negeri dan kesejahteraan rakyat.
Istiadat hari ini menyaksikan enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengangkat sumpah sebagai Exco baharu, sekali gus membentuk semula barisan pentadbiran kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Ismail.
Mereka ialah ADUN Kota, Suhaimi Aini, ADUN Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir, ADUN Senaling, Mohamad Qayyum Abd Jalil, ADUN Repah, Koh Kim Swee, ADUN Gemas, Ridzuan Ahmad dan ADUN Bagan Pinang, Abdul Fatah Zakaria.
Pelantikan itu membabitkan empat wakil BN dan dua wakil Perikatan Nasional (PN), sekali gus menamatkan tempoh ketiadaan barisan Exco susulan kemelut politik yang melanda negeri berkenaan sebelum ini.



![[TB]_Anwar Ibrahim Min Aung Hlaing 3_BERNAMA](https://themalaysiapress.com/wp-content/uploads/2026/11/TB_Anwar-Ibrahim-Min-Aung-Hlaing-3_BERNAMA-768x432.jpg)